Tuesday, 11 July 2017


Lawatan ke Perkampungan Orang Asli


Pendahuluan
Pada 12 mac 2017, seramai 40 orang pelajar dari UM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke perkampungan Orang Asli Batu 16, Ulu Gombak. Perjalanan mengambil masa selama 45 minit. Terdapat beberapa aktiviti yang telah dijalankan dan dikelolakan oleh pensyarah kami iatu En.Wahid bagi memudahkan lagi kefahaman kami terhadap kehidupan dan latar belakang Orang Asli.
Antara aktiviti adalah ceramah bersama wakil batin iaitu En.Kuda yang bertempat di PPLUM, Ulu Gombak dari jam 2.30-4.30petang. Disini, kami bebas untuk bertanyakan seberapa banyak soalan yang berkaitan dengan kehidupan sosial masyarakat Orang Asli selagimana ia tidak menyentuh perkara yang melibatkan sensitiviti mereka.
Pada pengamatan saya, setiap kaum Orang Asli mempunyai kelainan latar belakang dan corak kehidupan yang tersendiri yang mana ia adalah sesuatu yang unik. Sebelum ini, saya merasakan bahawa mereka ini tiada pegangan atau sebuah organisasi yang baik dan pada pemikiran saya mereka masih menetap di hutan dan hanya memakai pakaian yang separuh diperbuat dari kayu atau kulit binatang.
Apabila saya masuk dan melihat sendiri dengan kehidupan mereka yang sebenar, sebenarnya mereka sudah mempunyai kemajuan yang sangat besar untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka sebagai seorang manusia yang mana tujuan asal manusia di bumi adalah menjadi hamba allah dan seterusnya menjalankan amanah allah untuk memakmurkan bumi ini. Walaupun tidak semua daripada mereka adalah beragama islam tetapi mereka saling menghormati antara satu sama lain. Kemajuan yang mereka kecapi adalah usaha dan kerja keras dari pihak jabatan kebajikan hal Orang Asli (JAKOA). Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ialah nama baru bagi menggantikan nama lama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang berkuatkuasa penggunaannya pada 15 Januari 2011. Antara peranan JAKOA adalah adalah untuk melindungi Orang Asli dan cara hidup mereka daripada kepesatan perkembangan tamadun dan eksplotasi masyarakat luar disamping menyediakan kemudahan dan bantuan pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosioekonomi. Perubahan nama kepada JAKOA telah memperluaskan lagi peranannya ke arah pembentukan masyarakat Orang Asli yang lebih progresif dan dinamik selari dengan visi JAKOA iaitu, organisasi penggerak yang unggul dalam memajukan masyarakat Orang Asli setanding masyarakat perdana.
Jadi, sedikit ulasan daripada saya berkaitan ceramah yang telah disampaikan oleh En.Kuda.
Perkara 1: Sosio Masyarakat
Masyarakat Orang Asli di Batu 16 dinamakan dengan kaum Temuan. Kaum Temuan adalah kaum yang kedua terbesar di Malaysia dan lazimnya penempatan mereka adalah di kawasan Selangor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, dan daerah Muar, Johor. Temuan merupakan salah satu suku kaum dari masyarakat Orang Asli. Perkataan Temuan berasal daripada perkataan ‘temu’ iaitu ‘simpang’atau ‘pertemuan’  atau tempat pertemuan suku-suku kaum bukit. Berkemungkinan inilah yang menyebabkan orang-orang Temuan memperolehi nama gelaran kaum mereka. Genetik mereka dikatakan hasil cantuman beberapa suku kaum asli dengan penduduk migran daripada sumatera dan jawa. Mereka bertutur di dalam dialek bahasa Melayu Asli yang dipercayai berasal daripada Jambi di selatan sumatera. 
Pada pandangan saya setelah berjumpa dengan beberapa Orang Asli kaum Temuan adalah rupa dan bentuk fizikal mereka ini sama atau lebih kurang dengan masyarkat Melayu. Ciri-ciri yang terdapat pada mereka seperti rambut lurus, ketinggian, rupa bentuk muka adalah lebih kurang dengan kita orang melayu. Selain itu, bahasa yang digunakan juga tidaklah terlalu pekat atau sukar untuk difahami. Melalui percakapan En.Kuda, menunjukkan bahawa mereka juga menjaga tutur kata apabila berbicara dengan tidak terlalu berseloroh dan dilihat juga mereka ini masih lagi malu untuk bercakap di hadapan khalayak yang ramai.
Mereka diketuai oleh seorang Batin yang dilantik pada kebiasaannya mengikut keturunan. Perlantikan Batin dibuat berdasarkan ketokohan atau kebolehannya serta berpengetahuan luas tentang hal adat istiadat. 

Perkara 2: Panggilan
Bagi mereka juga ada panggilan yang mana apabila digelar terhadap masyarakat Orang Asli, ia akan menjatuhkan air muka mereka seterusnya seperti menghina mereka. Bagi saya, ini perlu diketahui oleh semua orang supaya tidak menggelar atau memanggil mereka dengan pangilan yang tidak disenangi oleh mereka. Panggilan ‘sakai’ adalah satu panggilan yang dilarang sama sekali untuk dipanggil. Hal ini kerana, semasa pemerintahan Inggeris, masyarakat Orang Asli digelar ‘sakai’ dan membawa maksud ‘hamba’.
Sakai juga membawa maksud kelompok primitif yang tinggal di hutan belantara, mundur dan kotor. Sesungguhnya, panggilan ini sangat tidak disukai oleh mereka kerana maksudnya yang tidak baik. Dan bagi En.Kuda panggilan tersebut menggambarkan mereka lebih hina dari haiwan. Jadi, panggilan yang terbaik untuk menggelar atau memanggil masyarakat ini adalah “Orang Asli” seiring dengan makna Orang Asli yang berasal dari perkataan bahasa arab yang memberi makna ‘yang asal’, ‘berbangsa’, dan ‘aristokrat’.
Kesimpulannya, agama Islam juga mengajarkan umatnya supaya memanggil sesuatu kaum dengan panggilan yang baik dan menyenangkan mereka untuk menjamin keamanan dalam kehidupan bermasyarakat serta bagi mengelakkan sebarang pergaduhan atau pertengkaran. Setiap kaum itu mempuyai hak untuk dipanggil dengan panggilan yang baik. Benarlah, jika kita menghina sesuatu kaum, tidak mustahil kaum tersebut juga menghina kita orang Melayu. Dalam aspek dakwah dan prinsip bermasyarakat, panggilan yang baik kepada Orang Asli akan membuka jalan kesenangan dan kemudahan dalam menyampaikan dakwah islamiah.

Perkara 3: Pekerjaan Dan Ekonomi
Menurut En.Kuda, antara aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat di sana adalah bercucuk tanam di sekitar kawasan mereka. Antara tanaman adalah jagung, ubi keledek, padi bukit dan pisang. Selain itu, mereka juga masih memburu untuk makan atau sebagai hasil jualan.

Antara haiwan yang diburu adalah katak besar dimana katak ini akan dijual kepada peniaga restoran cina. Dan harga yang ditawarkan juga tinggi adalah disebabkan katak tersebut sangat sukar untuk ditangkap dek kerana besar dan licin. Terdapat beberapa cara yang sesuai untuk menangkap katak tersebut antaranya diburu pada waktu malam.
Selain itu, ada diantara mereka yang membuat sumpitan asli untuk dijual kepada mereka yang dipercayai. Dimana mereka masih membuat dengan cara traditional. Bahan-bahan yang dicampur antaranya getah, akar kayu, cili burung dan ubu akar. Menurut En.Kuda jika seseorang terkena sumpitan, kemungkinan besar orang tersebut akan meninggal dunia jika lambat diubati.
Seterusnya tidak sah jika masyarakat Orang Asli tidak menghasilkan kraftangan. Apa yang saya perhatikan, masyarakat Orang Asli diberi kurniaan oleh tuhan sebagai manusia yang kreatif dan unik, buktinya mereka mampu menghasilkan pelbagai kraftangan yang sangat teliti cara pembuatannya dan kreatif sekali. Malah hasil kraftangan tersebut dicari oleh orang ramai.
Hasil kraftangan: bakul rotan dan penanda buku
Antaranya adalah bakul rotan, rantai, kalung, dan penanda buku. Hasil kraftangan ini akan dijual dan ada juga yang diuruskan oleh pihak JAKOA. Cuba kita amati tentang rekaan dan sulaman bakul atau penanda buku di atas. Pada pendapat saya, sangat kreatif sulaman dan anyaman serta teliti. Malah rotan yang digunakan adalah berkualiti maka tidak hairanlah jika kraftangan mereka mendapat sambutan yang tinggi daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Perkara 4: Adat Dan Pantang Larang
Masyarakat Orang Asli terkenal dengan pelbagai pantang larang yang berpasakkan kepercayaan kepada semangat roh. Bagi masyarakat Temuan, antara adat mereka adalah ketika mana seorang isteri itu bersalin, pasangan tersebut hendaklah menjaga beberapa pantang larang untuk memastikan sang isteri mudah bersalin. Mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk menjala ikan atau menjerat haiwan buruan kerana ditakuti sang isteri akan mengalami kesusahan ketika bersalin. Hal ini pernah berlaku kepada En.Kuda sendiri apabila isterinya sukar bersalin dan apabila dicari punca kesusahan itu, maka dia teringat akan jerat yang dipasangnya di hutan. Maka, dia terus berlari ke hutan dan terus membuka jerat tersebut. Apabila pulang ke rumah, dia telah dikhabarkan bahawa isterinya sudah bersalin. Selain itu, bayi yang baru dilahirkan akan diikat tangannya dengan kulit tenggiling yang dijampi bagi menghalau makhluk halus dari mengacau atau mengambil bayi tersebut.

Adat seterusnya ialah adat yang berkaitan dengan kematian. Perkara ini menarik minat saya untuk bercerita di dalam tugasan. Apabila terdengarnya tentang khabar kematian seseorang penduduk kampung, diselidik dahulu punca kematian bagi tujuan pemilihan tempat untuk dikebumikan mayat tersebut. Masyarakat temuan hendaklah mengebumikan mayat lebih kurang jauh 1km dari rumah mereka jika si mati itu mati tanpa sebab. Andai kata penyebab kepada kematian adalah disebabkan penyakit busung, maka akan dikembumiikan jauh dari kediaman mereka lebih kurang 10km. Hal ini kerana ditakuti penyakit busung itu akan terkena pada masyarakat yang lain. Kemudian, pakaian, tilam dan bantal si mati hendaklah dibakar sebaik sahaja selesai proses pengebumian. Untuk pengetahuan, mereka dilarang sama sekali mengebumikan mayat pada tengah malam kerana ditakuti roh lama akan merasuk mayat tersebut. Perkara menarik juga adalah, kalau mereka bermimpi bahawa roh datang bertemu dengan mereka dan meminta sesuatu, maka mereka perlu tunaikan hajat yang diinginkan oleh roh dengan membuat patung benda tersebut. Contohnya, roh datang dalam mimpi dan minta sebuah kereta, maka mereka akan mengukir atau menempah patung atau replika kereta yang diingini untuk si mati.
Selain itu, pantang larang apabila hendak masuk ke dalam hutan. Masyarakat hendaklah menghormati kawasan hutan dengan meminta izin kepada penunggu hutan kalau ingin membuang air. Hal ini ditakuti terbuang air ke atas makhluk atau penunggu hutan dan akan membawa kecelakaan kepada sesiapa yang membuatnya.



Perkara 5: Perayaan
Musim buah-buahan dianggap sebagai sebuah pesta dan perayaan bagi kaum Temuan kerana semakin banyak buah-buahan diperolehi, semakin tinggi darjat mereka di dalam masyarakat kerana dianggap kaya dan hidup mewah. Musim buah-buahan disambut setelah selesai musimnya. Hal ini demikian kerana pada musim tersebut masyarakat Temuan bersusah payah mengutip hasil tanaman mereka. Penduduk kampung itu akan berkongsi mengeluarkan belanja untuk membeli barang-barang keperluan untuk meraikannya. Mereka mengadakan majlis tari-menari sebagai tanda kesyukuran kerana hasil buah-buahan bertambah dan mereka meminta supaya bunga tumbuhan akan berlipat ganda di musim akan datang.
Selain itu, diadakan juga sambutan Sewang. Sewang merupakan tarian untuk menyembuhkan sebarang penyakit yang  berkaitan roh dan dipercayai digunakan untuk memuja roh-roh si mati. Tetapi pada masa sekarang, Sewang lebih bertujuan sebagai acara bersuka ria menyambut tetamu dan lebih dikenali sebagai Tarian Kong-Kong. Tarian ini terdiri daripada tujuh orang pemain muzik, empat belas orang penari dan seorang penyanyi. Alat-alat yang digunakan dalam tarian ini adalah kayu Mahang dan buluh betong.



Perkara 6: Kemudahan Di Kampung
Kebajikan masyrakat Orang Asli adalah dalam jagaan dan tanggungjawab pihak JAKOA. JAKOA adalah singkatan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Pada pemerhatian saya, terdapat beberapa kemudahan asas yang telah dibangunkan di perkampungan Orang Asli Batu 16, Ulu Gombak. Antaranya adalah projek tandas komuniti yang dibina oleh bahagian kesihatan dan perubatan JAKOA Malaysia, terdapat pentas bagi kemudahan sambutan perayaan dan sebagainya, beberapa buah tangki air, dan surau bagi tempat solat untuk mereka yang beragama Islam. Tangki air adalah kemudahan yang sangat penting untuk meringankan beban masyarakat untuk berulang alik ke sungai bagi mendapatkan air bersih. Selain itu, ia mampu meringankan kerja-kerja memasak yang mana kerja tersebut memerlukan air yang bersih dalam menyediakan hidangan selain keperluan membasuh pakaian. Apabila kesihatan dan kebersihan terjaga, maka perkara ini dapat mengurangkan kadar bilangan kes penduduk yang mendapat penyakit.
Pada pandangan saya, keperluan asas yang disediakan mencukupi memandangkan bilangan mereka yang menetap disana adalah lebih kurang 16 keluarga sahaja. Saya lihat pentas yang dibina ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja dengan sampah daun kering memenuhi pentas. Kemungkinan mereka tidak menggunakannya dalam jangka masa yang lama.


Kesimpulan
Masyarakat Orang Asli adalah masyarakat minoriti yang menetap di Malaysia. Mereka terbahagi kepada tiga jenis rumpun dan beberapa kaum lain. Keunikan budaya dan adat Orang Asli telah membuka mata saya bahawa mereka tidak kolot ditelan zaman. Malah, mereka telah dikurniakan dengan daya kreativi yang sangat tinggi sehingga mampu menghasilkan kraftangan yang sangat teliti dan halus anyamannya. Anyaman yang dihasilkan seperti bakul rotan dan gelang tangan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat dalam dan luar Negara. Mereka menggunakan hasil hutan dengan begitu cermat dan berhemah dengan mendisplinkan diri masuk mencari hasil hutan seperti yang dijadualkan. Saya difahamkan mereka tidak mencari buluh rotan setiap hari tetapi ada hari-hari tertentu sahaja mereka akan masuk ke hutan.
Jika kita lihat, sosio ekonomi Orang Asli bertambah baik dari hari ke hari. Ada dari kalangan mereka yang telah bekerja dan makan gaji di luar dari kawasan penempatan mereka dan mendapat kehidupan yang lebih baik. Selain itu, jualan kraftangan yang diuruskan oleh pihak JAKOA mendapat sambutan dan seterusnya membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.
Walaupun masyrakat Orang Asli beragama dengan pelbagai jenis agama, tetapi mereka meraikan perayaan setiap dari agama tersebut tanpa ada sebarang perbalahan atau pertelingkahan yang berlaku. Dan mereka masih menghormati Tok Batin sebagai ketua kampung serta masih mengekalkan adat yang telah lama sebati dengan kehidupan mereka. 

2 comments:

  1. assalammualaikum, ada beberapa soalan yang ingin ajukan jadi boleh saya dapatkan email? saya student stpm 2018/2019 dari mbsskl tgh buat kerja kursus sejarah ttg orang asli gombak jadi jika tidak keberatan boleh email saya ruqaiyahbasir@gmail.com atau beri saya email akak?

    ReplyDelete
  2. Mcm mana nak contact org kampung sana ya. Saya nak buat program dkt sana

    ReplyDelete