Tuesday, 11 July 2017

Muzium dan keunikan pamerannya



1.0 Latar Belakang Muzium Orang Asli

Idea mewujudkan sebuah muzium bagi mengabdikan sejarah silam serta memelihara warisan budaya masyarakat Orang Asli telah dicetuskan oleh Dr. Baharon Azhar Bin Raffie’i, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ke-4 (1969 – 1986). Beliau mencadangkan agar kediaman bekas Ketua Pengarah JHEOA dijadikan Muzium Orang Asli. Usaha untuk merealisasikan cadangan ini mengambil masa selama enam (6) tahun bermula dengan kerja menaik taraf dan mengubah suai bangunan serta pengumpulan artifak. Pada 29 September 1987, segala usaha yang dicurahkan membuahkan hasil apabila muzium ini mula dibuka kepada orang ramai. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4.
Melihat betapa pentingnya memelihara serta memulihara warisan dan kebudayaan masyarakat Orang Asli bagi tatapan generasi akan datang, JAKOA telah mengemukakan cadangan untuk membina sebuah bangunan muzium yang baharu pada akhir Rancangan Malaysia Ke-6. Cadangan ini diutarakan bagi menggantikan muzium sedia ada agar sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa. Pembinaan muzium baharu ini bermula pada 1995 dengan kos RM3.5 juta dan siap sepenuhnya pada 19 Jun 1998. Kerja-kerja pengisian pameran dan perolehan memakan masa hamper dua (2) tahun untuk dilaksanakan dan muzium ini dibuka secara rasminya pada 2 Mac 2000.
Majlis perasmian disempurnakan oleh
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-11.

 
Description: C:\Users\Windows\Downloads\IMG_20170319_104041.jpg


Alamat:
Muzium Orang Asli Gombak
KM 24, Jalan Pahang Lama Gombak,
53100 Gombak, Selangor.
Telefon: 03-6186 8796
Fax: 03-6186 8796

Fungsi muzium;
1)    Mengabdikan sejarah silam masyarakat Orang Asli sebagai bahan sejarah
2)    Mengumpul, memelihara dan mempamerkan semula segala bentuk warisan budaya peninggalan masyarakat Orang Asli.
3)    Sebagai pusat penyelidikan sejarah dan budaya serta latar belakang masyarakat Orang Asli.
4)    Memungut, menyelamat, memelihara, mendaftar dan menyimpan barang-barang yang mempunyai nilai-nilai sejarah dan tradisional.
5)    Menyimpan di tempat yang sesuai dan selamat rakaman-rakaman sejarah, cerita-cerita dan sebagainya mengenai sejarah tempatan.
6)    Muzium memberi kerjasama secara nasihat dalam bidang permuziuman pada pertubuhan-pertubuhan sejarah di sekolah-sekolah dan institusi-institusi lain.
7)    Menjalankan penyelidikan ke atas koleksi-koleksi muzium dan semua aspek kebudayaan, sejarah dan alam sekeliling untuk memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenainya.
8)    Memberi penerangan dan pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tentang kebudayaan sejarah tradisional negeri melalui penyebaran am, perpustakaan, pameran-pameran tetap, sementara dan mengambil bahagian dalam pameran di peringkat negeri atau Malaysia.
9)    Menguatkuasa enakmen yang berkaitan.


2.0 Seni Ukir Dan Anyaman
Seni ukir kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli adalah sangat unik dan kreatif. Seni ukir tersebut adalah berasaskan kepada alam sekitar dan budaya serta kepercayaan yang dipegang terutama dalam bidang anyaman tikar mengkuang atau pandan, lilitan kepala dan bunga, buluh dan rotan, ukiran patung dan topeng, dan subang. Kita mungkin akan tertanya dari mana mereka mendapat ilham untuk menghasilkan kraftangan yang sangat unik ini. Hal ini telah terjawab apabila saya membaca pada satu pameran di dalam muzium Orang Asli dan juga pembacaan di utusan online. Mereka sangat mempercayai mimpi yang menggambarkan kuasa baik dan jahat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh masyarakat Jah Hut dan Meh Meri akan menjelmakan mimpi mereka kepada ukiran rupa bentuk patung dan topeng. Juruukir suku kaum Mah Meri yang berasal dari Pulau Carey, Selangor, Samri Abd. Rahman, 40, berkata, patung dan topeng dihasilkan pada skala kecil bagi memastikan produk tersebut berkualiti dan mudah dipasarkan[1].
Buku bertajuk Mah Meri Carvings yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Roland Werner dari Jerman dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) itu menghimpunkan kajian 460 corak ukiran patung dan topeng yang pernah dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri.

Saya suka untuk berkongsi dengan pembaca berkaitan dengan satu patung yang diberi nama Harimau Berantai. Pengukir adalah Orang Asli daripada kaum Mah Meri, yang diberi nama Samri anak lelaki Abdul Rahman[2]. Beliau menetap di Pulau Carey, iaitu sebuah pulau yang terletak di dalam negeri SelangorMalaysia. Ia terletak di selatan Pelabuhan Klang dan utara Banting. Pulau ini dinamakan bersempena Valentine Carey, seorang pegawai awam British di Malaya.
Menurut Samri, bukan beliau seorang sahaja yang mengusahakan ukiran kayu, malah ada lagi beberapa orang yang terlibat sama dalam sektor perusahaan seni artistik[3] itu di pulau yang turut dikenali juga sebagai Pulau Si Alang.
Samri banyak menimba ilmu ukiran patung kayu daripada bapa saudaranya yang mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Ukiran Topeng/Patung oleh Kraftangan Malaysia, iaitu Pion anak Bumbung. Saya suka untuk berkongsi dengan pembaca mengenai cara atau proses pembuatan patung tersebut. Yang pertama, Samri akan berulang-alik ke kawasan pantai untuk mendapatkan  kayu keras paya iaitu kayu nyireh batu ataupun kayu pulai yang dijadikan sebagai bahan asas ukiran sesebuah patung.
Menurutnya lagi, setiap hasil ukirannya adalah cerminan kepada kepercayaan, adat dan tradisi kaumnya yang berkecenderungan kepada animisme[4]. Proses ukiran patung harimau berantai tidak menggunakan sebarang peralatan moden. Akan tetapi, Samri hanya menggunakan kemahiran tangan berserta peralatan asas seperti pahat yang pelbagai saiz dan tukul untuk mengilhamkan seni ukiran kepada bongkah kayu. Kerja seni ukiran kayu memerlukan tahap ketelitian yang tinggi dalam proses pembuatannya.
Oleh kerana itu, proses pengukiran ini mengambil masa lebih kurang satu bulan hingga tiga bulan untuk menyiapkan sebuah patung sahaja. Nilai utama ukiran yang menonjol adalah terletak pada kehalusan dan kualiti motif ukiran yang dihasilkan.
Jadi tidak hairanlah, nilai patung Harimau Berantai yang dihasilkan anak jati kaum Mah Meri ini mencecah ribuan ringgit mengikut saiz patung ukiran. Benarlah, hanya orang yang diberi anugerah sahaja yang mampu untuk menghasilkan satu patung yang sangat teliti dan unik dan kreatif.
Tambahan maklumat, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) seringkali menjemput Samri untuk ke beberapa pameran di luar atau dalam Negara. Antara Negara yang beliau pernah sampai adalah London, Paris, Shanghai dan Bangkok.
Jadi, apa yang kita dapat lihat, kraftangan atau patung yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli mempunyai seni dan ukiran yang sangat teliti malah mendapat tempat di Negara Malaysia atau luar Negara. Selain itu, Samri memperoleh kontrak tempahan pukal berkala daripada KMCS. Usaha Samri telah meningkatkan ekonomi keluarga melalui seni ukiran kayu seharusnya dikagumi dan dicontohi oleh masyrakat kaum Melayu. Secara tidak langsung, kerjaya beliau berjaya melestarikan warisan budaya masyarakat Orang Asli ke mata dunia.

3.0 Adat Perkahwinan
Perkahwinan adalah perkara yang dianggap suci dalam masyarakat Orang Asli. Menurut catatan pameran, kebiasaanya Orang Asli berkahwin ketika usia masih muda. Bagi kaum lelaki, usia yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga adalah 17 hingga 18 tahun, iaitu selepas mereka berkhatan, manakala bagi kaum wanita pula, umur 13 hingga 14 tahun adalah umur yang ideal mendirikan rumah tangga.
Sumber: Pameran di Muzium Orang Asli Gombak
 

Bagi kaum Semelai, antara syarat untuk membolehkan seseorang itu layak mendirikan rumahtangga adalah seorang lelaki mampu untuk mencari makan. Kaum ini juga mementingkan persetujuan keluarga daripada kedua-dua belah pihak untuk mengadakan perkahwinan. Seterusnya memaklumkan kepada Batin tentang perkara tersebut.  Majlis perkahwinan akan diadakan di rumah sebelah pihak perempuan. Orang yang paling tua atau ketua kampung akan bersua muka dan bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan kata-kata kepada pasangan pengantin. Antaranya kesedaran tentang kehidupan alam rumah tangga dimana betapa pentingnya sikap bertolak-ansur, tolong-menolong dan faham akan tanggungjawab masing-masing. Yang menariknya, mereka sangat menjaga adat penyucian dalam perkahwinan yang mana bomoh mereka akan menabur tepung tawar pada kepala, badan dan kaki bakal pengantin sebelum upacara perkahwinan diadakan.

Selain itu, bagi kaum Orang Hulu, mas kahwin adalah unsur yang paling penting dalam adat perkahwinan mereka. Mas kahwin akan ditentukan oleh batin. Terdapat tiga bahagian[5] dalam upacara adat perkahwinan mereka. Bahagian pertama adalah terdiri upacara mandi, perarakan, sambutan, bersanding, mengunyah sireh dan duduk di atas bantal. Bahagian kedua adalah majlis menyambut tetamu dimana akan diadakan permainan kad. Manakala bahagian ketiga adalah pertemuan. Tambahan, pasangan yang telah berkahwin akan tinggal di kediaman keluarga pihak isteri selama setahun sebelum mereka berpindah ke rumah atau kediaman mereka.
Seterusnya perkahwinan Orang Asli kaum Mahmeri[6] mempunyai banyak persamaan dengan perkahwinan masyarakat Melayu seperti adat merisik, menghantar tanda dan meminang. Perbezaannya adalah mereka mengekalkan istiadat menghalau hantu syaitan, selain diadakan upacara pemujaan untuk memberitahu kepada nenek moyang bahawa cucu mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan. Majlis itu dianggap penting untuk memastikan upacara perkahwinan itu selamat, diberkati dan aman bahagia sehingga ke anak cucu. Antara keunikan majlis perkahwinan mereka adalah sebaik saja persetujuan dan kata sepakat dalam majlis peminangan dicapai, upacara makan sirih dan pinang oleh tok batin dan wakil kedua-dua belah pihak dilakukan sebagai tanda mengakhiri majlis itu. Sehari sebelum hari perkahwinan beberapa istiadat akan diadakan seperti istiadat menepung tawar/menghalau hantu syaitan, istiadat mengasah gigi/ mengandam, membuang sial, menggantung kelambu dan berinai. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat istiadat diadakan sempena majlis tersebut iaitu menjulang pengantin, pertarungan pencak silat, mengelilingi busut, membasuh kaki dan mandi bunga. Antara yang menariknya berkaitan dengan istiadat ialah adat mengasah gigi. Mengasah gigi dianggap adat yang penting untuk dilakukan. Penggunaan kain hitam diletakkan pada gigi sebagai penanda jarak gigi yang perlu diasah. Cincin akan digunakan untuk mengasah gigi yang tidak rata dan kemudian diasapkan. Ini bertujuan menjadikan bakal mempelai sentiasa berseri dan mengelak kancing gigi ketika majlis persandingan[7]. Ketika majlis persandingan upacara melambung duit dilakukan sebagai simbolik kepada kebebasan mempelai dalam menentukan arah tuju hidup di alam rumah tangga. Selepas selesai majlis perkahwinan, pasangan pengantin dilarang keluar rumah untuk tempoh tiga hari untuk mengelak daripada diganggu hantu atau syaitan.

4.0 Perhiasan
Fitrah seorang perempuan adalah sukakan kepada perhiasan diri untuk menampakkan kecantikkan dan kekemasan diri masing-masing. Begitu juga dengan masyrakat Orang Asli yang sukakan perhiasan diri. Menurut pemerhatian saya ketika melihat pameran dan gambar-gambar yang tergantung di muzium Orang Asli, mereka menghasilkan perhiasan daripada bahan-bahan hutan dan diukir sendiri mengikut kreativiti sendiri.

Antara alat perhiasan diri ialah cucuk sanggul, rantai manik, dan gelang rotan. Saya cuba untuk menceritakan serba sedikit mengenai alat perhiasan tersebut. Cucuk sanggul diperbuat dari buluh yang dihiasi dengan pelbagai motif dan digunakan oleh kaum wanita sebagai alat untuk sanggul rambut. Peranan utama cucuk sanggul yang sebenar ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai. Cucuk sanggul ini diperbuat dari buluh atau kayu yang diukir dengan begitu teliti.
Manakala, rantai manik diperbuat dari biji-biji pokok yang dikutip dalam kawasan hutan. Pada kebiasaanya, ia akan dipakai oleh penari sewang dan juga pasangan pengantin semasa majlis perkahwinan berlangsung. Selain itu, fungsi lain adalah untuk menyejukkan badan.
Rantai manik.

 

5.0 Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli
Kebiaasaanya masyarakat Orang Asli akan menggunakan sumber alam yang paling dekat dengan penempatan yang mereka kediami. Mereka sangat menghargai hasil hutan atau hasil laut. Kajian Gomes (1987) ke atas masyarakat Semaq Beri mendapati aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh semua masyarakat Orang Asli adalah lebih kurang sama.
Beliau telah mengkategorikan aktiviti pengekonomian Orang Asli ini kepada dua iaitu; aktiviti ekonomi yang bertujuan untuk mendapatkan wang seperti menoreh getah, mencari rotan dan mencari Kayu Gaharu dan ekonomi yang bertujuan untuk sara diri seperti memancing, memburu binatang dan pertanian. Kebiasaannya, aktiviti-aktiviti ini dilakukan secara berasingan mengikut keadaan dan musim, pasaran dan kecenderungan mereka sendiri. Namun, dalam satu-satu keadaaan kedua-dua ekonomi ini dijalankan juga secara bersama.
Sebagai contoh, bagi masyarakat Temuan, kajian yang dilakukan di Hutan Simpan Bukit Lagong, Selangor menunjukkan 82 peratus responden bekerja sendiri berbanding dengan 18 peratus yang bekerja di sektor kerajaan[8]. Pekerjaan sendiri seperti jualan sumber bukan makanan yang diperoleh dari hutan seperti kayu gaharu, nibong, umbut kelapa, dan herba. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Kayu gaharu dibahagikan kepada dua jenis iaitu kayu gaharu yang berwarna kuning dan hitam. Kayu tersebut akan dijual mengikut kilogram. Kayu yang berwarna hitam lebih berharga berbanding dengan kayu gaharu bewarna kuning. Aktiviti pencarian kayu gaharu menjadi pekerjaan utama penduduk dengan hasilnya dijual seminggu sekali. Pekerjaan sampingan ialah menganyam kraftangan daripada rotan, lempit, bertam dan sebagainya.
Masyarakat ini juga mencari hasil hutan lain untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan seperti mencari petai untuk dijual, menoreh getah, dan pertukangan.
Ada juga antara mereka yang tidak menjual hasil hutan tersebut malah dijadikan sumber makanan mereka seharian untuk meringankan beban mencari makanan bagi tujuan kelangsungan hidup. Antara hasil hutan yang biasanya menjadi sumber rezeki mereka termasuklah pucuk ubi, rebung, dan umbut kelapa. Mereka juga ada yang  bercucuk tanam di sekitar kediaman bagi menampung keperluan mereka seperti menanam ubi kayu, sayuran kampong, jagung dan padi bukit.

6.0 Usaha Meningkatkan Jumlah Pengunjung Ke Muzium
Antara usaha yang boleh diambil bagi meningkatkan bilangan pengunjung ke muzium Orang Asli adalah dengan mewawarkan di laman sosial. Umum mengetahui bahawa kuasa tular yang berleluasa hari ini sebenarnya memberi peluang dan ruang untuk menyebarkan maklumat dan informasi. ‘facebook’ dan ‘instagram’ menyediakan satu platform untuk memberitahu masyarakat Malaysia dan juga luar tentang khazanah yang tersimpan di muzim. Sebagai contoh, pihak muzium membuat satu video yang memuatkan gambar pelbagai kraftangan dan hasil ukiran patung serta topeng. Kemudian, muat naik di laman sosial dan laman sesawang dengan cara yang berhemah dan beretika dengan menjaga sensitiviti masyarakat lain. Saya percaya para penonton akan lebih tertarik. Hal ini kerana keunikan dan kekemasan seni kraftangan itu mampu membuat penonton terpegun dan kemungkinan mereka akan ke muzium bagi melihat sendiri kebenaran video tersebut.  Pada hemah saya, jarang yang mengembleng tenaga untuk membuat satu video khusus untuk memperkenalkan muzium. Jika video ini dapat diiklankan di televisyen atau radio, ia akan meningkatkan jumlah pengunjung yang akan bertandang ke muzium. Televisyen sebenarnya mempunyai kuasa tarikan yang sangat luar biasa untuk mengiklankan sesuatu tempat atau sebagainya.
Usaha yang seterusnya adalah dengan mengadakan hari terbuka muzium. Maksudnya disini ialah, luar dan dalam muzium itu dihiasi dengan sangat meriah dengan pelbagai jenis hiasan yang tergantung, kemudian diadakan pelbagai aktiviti yang mana melibatkan orang ramai. Yang pertama, aktiviti muzium terbuka perlu ditularkan di laman sosial, diagihkan ‘cai’ kepada penduduk sekitarnya, digantung banner di sekitar kawasan, kemuadian menjemput masyarakat Orang Asli untuk turut serta mengadakan aktiviti, dan seterusnya menjemput orang kenamaan untuk perasmian dan juri pertandingan yang diadakan. Antara aktiviti yang boleh dimasukkan di dalam program hari muzium terbuka, seperti pertandingan membuat patung tercantik, pertandingan memasak makanan tradisi kaum Orang Asli, pertunjukkan tarian kaum Orang Asli, pameran kraftangan, dan jualan hasil kraftangan dan hasil hutan atau tanaman. Program ini diadakan di muzium Orang Asli. Selain dari mengeratkan hubungan antara masyarakat, ia juga dapat memperkenalkan kepada orang ramai tentang kewujudan muzium Orang Asli seterusnya memajukan Orang Asli untuk tidak merasa malu dengan masyarakat kaum lain.
Seterusnya, apa yang saya lihat di sekitar muzium itu tidak ada sebarang aktiviti yang boleh menarik orang luar untuk datang. Cadangan saya, tidak salah jika pihak Hal Ehwal Orang Asli menyediakan satu kawasan untuk masyrakat Orang Asli menjual hasil kraftangan dan tanaman mereka disana. Cuba kita bayangkan, kawasan laman muzium Orang Asli itu, dipenuhi dengan gerai dan tapak jualan hasil kraftangan dan juga hasil tanaman dari hutan atau kebun. Saya percaya, ramai akan kesana untuk membeli hasil tanaman dan juga barangan disana, kerana rakyat Malaysia percaya bahawa tanaman yang diusahakan oleh Orang Asli adalah tanaman yang segar dari ladang tanpa ada sebarang racun kimia yang digunakan. Antara tanaman yang diusahakan mereka seperti pisang, ubi kayu dan buahan lain tentu menjadi rebutan masyrakat melayu kita. Kemanisan dan keenakan yang terjaga itu yang menarik orang ramai untuk mendapatkannya. Jadi bak kata pepatah melayu, sambil menyelam minum air. Maksudnya, masyarakat Orang Asli dapat memajukan diri mereka, dan pihak muzium dapat memperkenalkan muzium kepada pihak luar. Dan para pengunjung yang datang, kemungkinan besar akan singgah atau masuk ke dalam muzium untuk melihat apa yang ada di muzium tersebut. Dan masyarakat luar juga dapat meneganali masyarakat Orang Asli melalui pakaian dan juga fizikal Orang Asli seterusnya dapat bertukar-tukar cerita tentang kehidupan masing-masing.





[2] http://www.sinarharian.com.my/tangan-pengukir-rezeki-1.224287
[3] Segala sesuatu yang berkaitan dengan seni termasuk lukisan, music, sastra dan menari.
[4] Animisme adalah agama yang mengajarkan bahwa tiap-tiap benda, baik yang beryawa maupun tidak bernyawa mempunyai roh. Tujuan beragama dalam Animisme adalah mengadakan hubungan baiik dengan roh-roh yang ditakuti dan dihormati itu dengan senantiasa berusaha menyenangkan hati mereka.
[5] Abd.Wahid Jais Dan Faezah Kassim, Sosialis Masyarakat Orang Asli: Satu Analisi Awal Dari Aspek Adat, Seminar Bahasa Dan Kebudayaan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, University Malaya, 2013
[6] www.kkmm.gov.my
[7] http://dtecconan-isusemasa.blogspot.my/2009/07/adat-perkahwinan-orang-asli.html
[8] CHOY, ER AH, Zalina Che Mat Ariffin, and Joy Jacqueline Pereira. "Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli: Kajian Kes di Hutan Simpan Bukit Lagong, Selangor, Malaysia." Jurnal Melayu 5 (2010).

No comments:

Post a Comment