Wednesday, 15 February 2017

Keperluan Uzlah Dalam Kehidupan







Analisis Keperluan Uzlah Dalam Kehidupan
Melalui Pengamatan Sirah Nabi
Oleh: Sumayyah Binti Md Ghazali

Abstrak
Rasullah mempunyai pelbagai perilaku contoh yang dapat dicontohi antaranya uzlah di Gua Hira’ sebelum baginda mendapat wahyu yang pertama. Setiap yang baginda lakukan adalah bersebab dan dijaga oleh Allah. Uzlah ialah mengasingkan diri dari kesibukan kehidupan seharian di suatu tempat yang menenangkan. Tulisan ini akan cuba merungkaikan kepentingan dan keperluan uzlah dalam kehidupan seharian bagi menjamin ia adalah salah satu punca kejayaan seseorang jika diamalkannya. Beberapa kitab telah dianalis bagi mencari kepentingan uzlah dengan lebih mendalam dan jelas.
Kata kunci: uzlah, sirah nabi, dan keimanan.

Abstract
Rasullah have various good practices that can be emulated like solitude in cave of hira’. All he did was cared and programmed by God. The Solitude is spent his time alone, away from crowded peoples at the peaceful place. This paper will attempt to disassemble the interests and needs of solitude in everyday life to ensure it is one of the ways to be success. Several books have been analyzed to find the goodness of solitude.
Keywords: solitude, head prophet, and faith.




1.0 Pendahuluan
            Muhammad bin Abdullah ialah insan terpilih untuk menyampaikan wahyu Allah kepada umat manusia sehingga hari akhirat sana. Baginda telah dilantik menjadi rasul yang terakhir dan untuk semua umat hingga ke akhirat kelak. Keperibadian baginda sebelum menerima wahyu telah mendapat pujian yang sangat baik daripada orang quraisy pada zaman jahiliah malah baginda terkenal dengan pangilan al-Amin. Setiap perilaku baginda akan menjadi perbualan kaum quraisyh. Baginda sangat baik dan ramah dengan mereka. Namun, jauh di sudut hati baginda, ada sesuatu yang tidak baginda selesa iaitu kejahilan dan kerosakan akidah mereka dimana ia tidak  selari dengan keperibadian sifat semulajadi Rasullah. Ada diantara mereka yang minum minuman yang memabukkan, berperang sesama sendiri  dan sikap asabiah yang sangat tingga dalam kaum arab pada zaman tersebut.
            Setiap manusia mempunyai kaedah tersendiri dalam mencapai ketenteraman dan kekuatan jiwa dimana sebagai contohnya ada di antara manusia yang suka melawat tempat-tempat yang menenangkan untuk menghilangkan kesesekan minda dengan rutin harian yang bergelumang dengan hiruk pikuk Bandar. Jadi, baginda nabi Muhammad telah ditetapkan dan diprogramkan  oleh Allah untuk mengasingkan diri di satu tempat yang jauh dari manusia dalam masa yang singkat bukannya mengambil masa yang lama.
            Rasullah telah mengambil satu keputusan iaitu, mengasingkan diri dari hiruk pikuk manusia dan telah memlilih Gua Hira’’ sebagai tempat beruzlah selama sebulan iaitu satu bulan di bulan Ramadhan. Dan ada riwayat yang menyatakan sebelum baginda mencapai umur 40 tahun, baginda beruzlah pada bulan Ramadhan bagi tiga tahun berturut-turut. Dan apabila mana-mana riwayat menyebut uzlah, maka dikaitkan terus dengan amalan khulwah Rasullah. Pada usia Rasullah telah mendekati umur 40 tahun, baginda semakin banyak merenung dan mengamati perilaku yang berlaku di sekitar mekah dan sekelilingnya. Lalu Rasullah mengambil keputusan untuk beruzlah di salah satu gua iaitu, Gua Hira’[1] iaitu sebuah bukit yang berdekatan dengan Mekah dan terletak di barat laut Mekah.

2.0 Definisi Uzlah
            Menurut kamus Al-Mu’jam Al-Arabiy Al-Asasiy, عزلة, uzlah bermaksud menjauhi atau mengasingkan diri daripada orang lain. Uzlah bukannya bererti menjauhkan diri dari manusia pada waktu-waktu senggang ataupun majlis kebajikan, solat berjemaah dan kajian ilmu. Uzlah adalah menjauhkan diri dari kejahatan, maksiat, dan fitnah  malah menghindari perbuatan mubah yang tidak mendatangkan manfaat.[2] Selain itu, Rasullah akan berada jauh dari pasar-pasar yang ramai orang malah majlis-majlis yang membingitkan dan bising.
            Beruzlah juga ditakrifkan dengan mengasingkan diri dalam tempoh yang tertentu, mungkin sehari atau seminggu dan kadangkala tidak melebihi dari 30 hari. Tulisan ini menfokuskan uzlah Rasullah yang disertai dengan amalan khulwah, iaitu tinggal bersendirian untuk fokus kepada sesuatu seperti ibadat atau memikirkan tentang sesuatu yang memerlukan focus yang tinggi dalam mencapai kepuasan kepada pemikiran dan pandangan baginda mengenai agama islam.
            Perkataan uzlah itu ada sedikit persamaan dengan makna dalam Bahasa Inggeris iaitu, disengagement, bermaksud perenggangan.[3] Istilah perenggangan juga dapat difahami dengan makna pemeliharaan jiwa. Jika seseorang itu mampu untuk memelihara diri sendiri daripada melakukan kejahatan atau keburukan, maka tidak perlu kepada aktiviti uzlah. Selain itu, ia adalah satu teknik untuk mengubah, menfokuskan, memecahkan atau memperluaskan fikiran dan pandangan. Proses yang berlaku ialah memisahkan diri dari orang yang ramai, menciptakan kesunyian atau keberseorangan, merenung jauh ke dalam diri lalu berfikir tentang sesuatu sehingga merasakan puas dengan jawapan atau pemikiran yang ditemukan, kemudian seseorang itu akan bergaul dan bersosial dengan masyrakat. Proses dalam menyepikan diri adalah berlakunya refleksi, visualisasi( menggambarkan sesuatu) dan monolog dalaman.
            Jadi, pada hari ini, uzlah dilakukan dengan mengambil kira ketulusan niat, keadaan sekeliling yang kondusif, keimanan kepada rukum iman 6, kefahaman terhadap matlamat penciptaan manusia, falsafah dan konsep uzlah, dipandu oleh pembimbing yang benar memahami penyakit rohani yang dialami oleh pesakit serta sedia untuk membantu. Malah, dalam konteks yang lebih luas, uzlah boleh diertikan dengan program-program ilmiah lain seperti usrah, kem motivasi, diskusi buku, konvensyen dan seumpamanya. Melalui pertemuan dan perkumpulan dengan mereka yang mempunyai matlamat yang sama iaitu mempertajam iman dan memperbaiki amal, ia juga berperanan dalam menjadikan individu bermuhasabah diri dan mendapat kaedah yang lebih baik atau berkesan dalam merawat penyakit rohani yang dialami.[4]
            Uzlah juga doleh difahami dengan makna melepaskan diri dari sesuatu situasi dan keadaan sehingga berlaku perubahan kepada diri sendiri[5]. Perkara ini boleh diaplikasikan dengan melakukan solat sunat di tengah malam, dimana seseorang itu bangun di tengah malam sedangkan yang lain enak dibuai mimpi.

3.0 Perbahasan Ulama Tentang Uzlah
            Imam al-Ghazali menyatakan bahawa satu-satunya jalan menuju Allah swt adalah ibadah dan dalam melaksanakannya manusia akan berhadapan dengan pelbagai penghalang. Justeru, beliau mencadangkan bagi menghapus penghalang ibadah ini antara lainnya ialah amalan beruzlah. Ia kerana beruzlah adalah menjauhkan diri daripada manusia yang tidak soleh. Manusia jenis ini yang sentiasa mengganggu dan menghalang ibadah malah menjatuhkan manusia ke dalam kejahatan dan kebinasaan[6].
            Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandari[7] menyifatkan uzlah yang disertai dengan kegiatan tafakkur adalah dan ia adalah amalan yang sangat penting bagi hati manusia. Uzlah yang dimaksudkan ialah dengan menumpukan sepenuh hati atau jiwa raga bersendirian bersama Allah swt. Ia bertujuan untuk mendapatkan tumpuan dalam berfikir sehingga mampu beroleh ilmu dan menguatkan hati. Tafakkur yang dimaksudkan ialah seseorang itu berfikir tentang kebenaran Tuhan dan keimanan dengan kehadiran hati sepanjang proses tersebut.
            Sebagai solusi, Ibn Bajah dalam pemikirannya telah mencadangkan pendekatan yang sedikit berbeza iaitu bersendiri sama ada secara berseorangan atau melibatkan beberapa orang tanpa berhubung dengan orang lain kerana dikhuatiri terpengaruh dengan unsur tidak baik daripada masyarakat sekeliling. Ini bermakna beliau menyarankan pengasingan dalam khalayak. Dengan erti kata lain, al-mutawahhid atau manusia penyendiri itu tetap berada dalam khalayak masyarakat dengan keadaan tidak bercampur gaul dengan masyarakat yang rosak. Sebaliknya, mereka memilih untuk hidup bersendirian di tengah masyarakat atau hanya bergaul dengan kelompok yang memilih untuk menyendiri juga.[8]

4.0 Bentuk Uzlah
 Uzlah terbahagi kepada dua bentuk iaitu, zahir dan batin[9]. Uzlah yang berbentuk zahir ialah seorang manusia mengasingkan diri dan menahan badannya agar tidak menyakiti orang lain dengan akhlak yang buruk supaya mata hati nurani terbuka dengan cahay dan hidayah daripada allah. Sementara itu, uzlah yang berbentuk batin adalah batinnya mampu untuk menahan segala godaan nafsu dan syaitan, seperti terlalu sukakan hiburan, berfoya-foya, membazir makanan, dan juga seperti riya’, sum’ah dan takabur. Batinnya atau hati sentiasa dekat dan mentaati allah dengan meninggalkan larangan dan mengamalkan suruhan.

5.0 Perkara yang dilakukan oleh Rasullah di dalam Gua Hira’’
            Rasullah apabila diriwayatkan mengenai uzlah baginda, tidak akan terlepas dengan amalan khulwah baginda di dalam Gua Hira’’. Tujuan baginda untuk beruzlah adalah untuk berkhulwah demi mencari satu pegangan akidah yang teguh dan kuat.
            Di dalam gua yang sangat hening dan jauh dari hiruk pikuk manusia, pandangan mata nurani Rasullah memperhatikan warisan hidayah peninggalan para nabi dan rasul terdahulu, sehingga dapat membayangkan gua itu laksana lubuk emas yang sukar digali dan tidak mungkin dapat diambil hasilnya kecuali orang yang bersusah payah.[10]
            Selain itu, baginda menghabiskan masanya di sana untuk beribadat dan berfikir mengenai alam semesta sekelilingnya, kudrat disebalik penciptaannya, Baginda tidak senang dengan akidah pegangan syirik kaumnya, yang terlalu rapuh dan reput itu, serta tasawurnya yang tidak bertunjang[11]. Rasullah melakukan ibadat kepada tuhan yang bukan diimiginasi oleh baginda, tetapi tuhan yang sebenar iaitu Allah dan melakukan ibadat mengikut amalan nabi ibrahim.[12] Malah jiwa Rasullah berusaha untuk memahami misteri tentang penciptaan, perkara baik dan buruk, serta kehidupan dan kematian. Amalan berkhulwah dan beruzlah yang dilakukan oleh Rasullah kadang-kadang memakan masa beberapa hari dan malam, dan kadang-kadang melewati satu bulan.
            Dalam suasana beruzlah, Rasullah dituntut supaya diam, menyerahkan diri, dan secara keseluruhannya beribadat kepada Allah.[13] Maka, natijahnya ialah turunlah wahyu dari yang maha esa kemudian diangkat baginda menjadi rasul yang terakhir. Uzlah dalam erti bertapa adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama islam, kerana terdapat unsur penyeksaan terhadap diri sendiri.


6.0 Kepentingan uzlah
6.1Ruang menjernihkan fikiran
            Kepentingan ini bergantung kepada setiap individu itu tersendiri kerana setiap manusia mempunyai kesan yang berlainan. Sebagai contoh para pendakwah yang sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah seperti, memberi ceramah di sekolah, madia massa, turun padang ke tempat-tempat yang memerlukan pendakwah dan sebagainya. Jadi, dalam kesibukan mereka ini mengajak manusia kea rah mengenal Allah dan kembali kepada Allah, maka perlu kepada suatu ruang untuk dia bersendiri bagi menjernihkan kembali diri dan fikiran kepada Allah.

            Menurut Mustafa sibae, dari masa ke masa, pendakwah kepada Allah mestilah mempunyai waktu untuk dia bersendiri. Dalam tempoh itu, rohnya berhubung dengan Allah Jalla Sya'nuh. Jiwanya dibersihkan daripada kotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekelilingnya. Bersendiri seumpama ini akan mengajak pendakwah memuhasabah diri, andainya dia cuai melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang dituju dan menjauhi jalan hikmah. Boleh jadi dia melakukan kesilapan dalam cara, manhaj dan jalan, atau dia tenggelam bersama orang ramai dalam perdebatan dan perbincangan. Sehingga dia alpa daripada zikrullah, bermesra dengan-Nya dan lupa mengingati akhirat sama ada syurga mahupun neraka. Perdebatan tersebut menyebabkannya lupa tentang kesengsaraan dan kesakitan mati.

            Oleh kerana itu, tahajjud dan qiamullail menjadi fardhu bagi Nabi s.a.w. dan hanya sunat kepada orang lain. Orang yang sepatut mengambil berat amalan sunat ini ialah para pendakwah ke jalan Allah, syariat dan syurga-Nya. Khulwah (bersendirian), tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan yang tidak diketahui kecuali mereka yang Allah muliakan melalui amalan-amalan tersebut. Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata seketika selepas bertahajjud dan beribadat: "Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui oleh raja-raja, pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya.[14]

            Selain itu, dapat dilihat, amalan beruzlah telah dilaksanakan oleh ulama besar dalam ilmu tasawufnya iaitu, Imam Al-Ghazali. Apabila beliau merasa sangat sibuk dengan urusan dunia di Baghdad, maka beliau mengambil keputusan untuk beruzlah dengan meninggalkan kota Baghdad dan bermukim di Sham hampir dua tahun lamanya. Beliau tidak lain dan tidak bukan mengambil kesempatan itu untuk beruzlah malah mujahadah, iaitu berusaha kesibukan untuk membersihkan al-nafs, memperbaiki akhlak serta menjilahkan al-qalb bagi mengingati Allah sebaigamana beliau memperoleh ilmu tasawuf daripada Allah.[15]
Tambahan pula, amalan beruzlah ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keislamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak tinggi serta peribadatan yang tidak putus-putus terhadap Allah tanpa ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkan  ia sampai kepada hakikat keagungan Allah. Ini adalah salah satu jalan untuk mereka menjadi atau meletakkan dirinya sebagai seorang muslim yang sejati.

6.2Mengubati pelbagai jenis penyakit rohani dan spritual
            Suasana atau keadaan dunia hari ini telah disibukkan oleh peralatan canggih, iklim keberagamaan yang merosot dan keruntuhan akhlak yang berlaku. Hal ini menunjukkan bahawa segelintir manusia pada hari ini dijangkiti penyakit rohani yang kronik. Suasana ini berkembang hasil daripada pengaruh pemahaman sekularisme. Sulaiman noordin (2000) menyatakan bahawa fahaman ini telah menyebabkan munculnya pelbagai fahaman-fahaman yang membawa kepada kesesatan, pemisahan antara roh dan jasad, dunia dan akhirat dan lainnya ialah sains dan agama. Sedangkan di dalam agama islam, roh dan jasad itu bersatu untuk menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada manusia iaitu untuk menjadi khalifah dan melakukan ibadat kepada ilahi.
            Seterusnya, hikmah dari beruzlah dapat dilihat untuk mengubati pelbagai jenis penyakit yang mana tidak mungkin dapat diubati melainkan dengan mengasingkan diri dari kesibukan dunia atau hiruk pikuk manusia.[16] Antara penyakit yang perlu kepada pengasingan diri iaitu, hasad dengki, sombong, bongkak, bermegah-megah dan juga terlalu sukakan kebendaan dunia. Jadi apabila diambil jalan untuk mengasingkan diri, maka perlu untuk mengikuti apa yang telah dilakukan oleh Rasullah ketika baginda berada di Gua Hira. Dimana baginda tidak berada di sana diam atau membatu atau sekadar merehatkan minda yang letih. Tetapi baginda tidak lekang daripada berzikir kepada Allah sehingga merasakan bahawa ada tuhan yang maha esa yang mentadbir alam ini ditambah pula baginda sentiasa berfikir tentang tujuan penciptaan manusia dijadikan dan kemana manusia selepas kematian.
            Selain itu, Rasullah sentiasa merenung tentang bukti kekuasaan penciptaan Allah dimana tidak ada satu makhluk di bumi yang mampu untuk mencipta sesuatu yang gah sebaigama diciptakan oleh Allah. Sebagai contoh, diciptakan tumbuh-tumbuhan yang bermacam jenis, rasa, warna dan penjagaannya. Hal-hal seperti ini mampu mengubati penyakit hati yang sombong dan takabbur dengan kemewahan dunia kerana ia mampu untuk memandang bahawa masih terdapat satu kuasa yang besar.
            Dengan kesimpulannya, apabila mengasingkan diri, perlu untuk taqarrub kepada Allah untuk mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah. Jadi, tidak ada keraguan lagi, dengan mengasingkan diri dari manusia dapat mengubati penyakit-penyakit hati. Jika tidak diubati dengan kadar segera, maka penyakit ini akan merebak seterusnya merosakkan hati yang suci secara fitrahnya.

6.3Jalan untuk mencintai Allah
            Di samping itu, antara jalan untuk mencintai Allah dengan sepenuh hati selain dengan mengikuti jalan beruzlah. Cara beruzlah ini, merenung dan bertafakkur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan Allah, merenung keagungannya seterusnya kebesaran Allah. Kemudian ditambah pula dengan memperbanyakkan bacaan zikir kepada Allah dengan perantaraan hati dan lidah.[17] Hal sebegini telah dilaksanakan oleh baginda Rasullah seterusnya menjadikan Rasullah seorang yang sangat kental jiwanya, kerana baginda percaya bahawa setiap yang berlaku pasti akn mendapat sokongan dan petunjuk daripada Allah. Disamping itu, amalan dalam mendekatkan diri kepada Allah mampu untuk menjadikan jiwa kuat daripada terikut-ikut dengan godaan dunia mahupun syaitan, malah amalan itu mampu untuk menjadikan semua kerja senang khususnya kerja yang berbentuk dakwah.

6.4Memupuk kreativiti dan inovasi
            Setiap manusia mempunyai kebolehan untuk berfikir dan berkreativiti serta berinovasi dalam melakukan sesuatu. Jadi, tidak hairan ramai manusia pada hari ini, muncul dengan pelbagai ciptaaan dan penambahbaikan yang mengajaibkan malah mengegarkan dunia seperti penggunaan cip micro dalam pelbagai urusan, penciptaaan robot yang mampu melakukan kerja harian manusia, dan penciptaan jam tangan pintar, serta pertanian hidroponik.  Selain daripada seseorang itu berbincang bagaimana cara yang terbaik dalam menghasilkan sesuatu ciptaan baru, mereka juga memerlukan satu ruang yang membolehkan mereka berfikir, berhalusinasi, menggambarkan dan mencari jalan yang yang terbaik dalam menyediakan ciptaan yang terbaik. Antara jalan yang dipilih ialah mengasingkan diri dan menyendiri, berdoa memohon petunjuk dari tuhan seterusnya berfikir dengan akal yang tenang untuk mendapatkan penyelasaian yang terbaik.
6.5Menjauhkan diri dari melakukan perbuatan jahat[18]
            Manusia pada kebiasaannya akan cuba meniru atau terikut-ikut dengan perilaku sahabat rapatnya. Walaupun begitu, kejahatan itu boleh cuba untuk dijauhkan dengan melakukan uzlah. Disini apa yang dimaksudkan ialah seseorang itu masih boleh untuk berhubung dan bermasyarakat dengan manusia, tetapi perlu untuk mengasingkan diri dalam masa tertentu supaya tidak terikut dengan perbuatan jahat mereka di sekelilingnya. Seseorang yang beruzlah hendaklah berniat bahawa dia menjauhi manusia untuk sementara waktu itu, adalah untuk menjauhi kejahatan, dan seseorang itu akan melakukan pelbagai ibadat, zikir untuk mengingati allah selain seseorang itu berniat untuk berjihad iaitu berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan hawa nafsu.




7.0Kesimpulan
Rasullah adalah insan yang telah dipilih dan dijaga oleh Allah dari segi fizikal mahupun rohani baginda. Buktinya, Rasullah telah dilahirkan dari keluarga yang sangat mulia kedudukannya iaitu bani hasyim malah kedua ibu bapanya juga adalah dari mereka yang baik akhlaknya. Allah telah mendidik Rasullah dengan pelbagai cara untuk memastikan bahawa Rasullah cukup kental dan kuat jiwanya sebelum memikul satu amanah yang sangat besar iaitu menyampaikan risalah islam kepada seluruh umat manusia tanpa mengira warna kulit, kaum dan jantina dan sebagainya.
Sebelum Rasullah menerima amanah yang besar, Allah telah menitikkan rasa kasih sayang Rasullah kepada Allah. Oleh kerana itu, Rasullah telah diprogramkan untuk berkhulwah di dan beruzlah di Gua Hira’. Rasullah tidak menghabiskan masa yang lama untuk beruzlah di Gua Hira’ kerana Rasullah percaya bahawa bergaul dengan masyrakat juga adalah perkara yang sangat penting sebagai menjalankan kewajipan sebagai seorang manusia.
Kesimpulannya, manusia pada hari ini perlu kepada uzlah iaitu mengasingkan diri dari hiruk pikuk manusia untuk berkhulwah kepada Allah. Amalan ini menjadi lagi penting jika tiba pada bulan ramadhan, dimana bulan tersebut adalah bulan yang terkenal dengan bulan mempertingkatkan ibadat sebanyak yang mungkin. Jadi, sebagai contoh uzlah ialah mengasingkan diri dengan pergi ke masjid atau menyediakan sebuah bilik khusus untuk melaksanakan ibadat kepada Allah. Disini, penekanan hanya diberikan untuk solat malam dimana mengasingkan diri pada waktu malam untuk menambah keimanan dan kecintaan kepada Allah selain merawat penyakit hati seperti hasad dengki dan riya’. Dan pada siang harinya, teruskan untuk berjalan dan bekerja di siang hari untuk memenuhi tuntutan menjadi kahlifah di muka bumi Allah.
Manusia tidak sempurna jika luarannya nampak sangat baik dengan berakhlak mulia dan sebagainya. Mereka perlu kepada penyucian hati untuk mengenal Allah dengan hati nurani bukannya sekadar ucapan syahadah di bibir. Penyucian hati dengan taqarrub dengan Allah hanya boleh dirasai jika benar-benar merasakan bahawa Allah adalah yang maha segala-galanya dan tidak ada satu kuasa pun yang mampu menandingi kekuasaan dan kekuatannya.






Rujukan
1.      Abdul Qadir Al-Jailani. Sirrur Ashror, (Beirut: Dar Fikr)
2.      Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, Story Of The Message (Jakarta: Maghfirah Pustaka, 2008)
3.      Al-Ghazali, Minhajul  Abidin (Jalan Para  Abid). Terj. Engku Ali Engku Endut. Kuala Lumpur: Pustaka Darul Iman, 2012).
4.      Dr.Makmun Gharib, Kisah Hidup Sang Wali Dan Pesan-Pesan Yang Menghidupkan Hati, (Jakarta: Penerbit Zaman, 2014)
5.      Imam Al Ghazali, Ihya Ulumuddin, Ter. Abdul Rosyad Siddiq, (Jakarta: Ak Armedia Khazanah Buku Islam Rujukan, 2008)
6.      Majid Fakhri, Rasail Ibn Bajah al-Ilahiyyah (Beirut: Dar al-Nahar. AlMaktabah al-Syamilah. 2008)
7.      Muhammad Said Ramadan Al-Buti, Fiqh al-Sirah Terj. Mohd Darus Sanawi (Selangor: Dewan Pustaka Fajar, 1983)
8.      Muhibbuddin Waly, Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf (al-Hikam) (Singapura: Pustaka Nasional, 2004)
9.      Nazneen Binti Ismail & Mohd Noorikhwan Bin Sarbini, Peranan Uzlah Dalam Merawat Penyakit Rohani Muslim, Artikel Jurnal, Jil.2 Isu 1, (Selangor: Kuis, 2015)
10.  Sanerya Hendrawan, Spiritual Management: From Personal Enlighment Towards God Corporate Governance, (Bandung: Pt Mizan Pustaka, 2009)
11.  Mustafa Sibae, Sirah Nabawiah (Era Intermedia Sinopsis)
12.  Syaikh Muhammad Al-Ghazali, Fiqush Sirah, (Pajang, Solo : Media Insani Press)
13.  Syeikh Shaffiyyur Rahman Al-Mubarakfury, Sirah Nabawiah (Jakarta : Robbani Press)
14.  Syeikh Shaffiyyur Rahman Al-Mubarakfury, When The Moon Split, ( Saudi Arabia : Darussalam Publisher)
15.  Syekh Siti Jenar, Makna Kematian  (Jakarta: Pt Serambi Ilmu Semesta , 2007)
16.  Zakaria Stapa, Iktibar Daripada Kesohoran Al-Ghazali dalam. Artikel Pemikir (Januari-Mac,  2006)





[1] Gua Hira’’ Sekarang Dikenali Dengan Jabal An-Nur.
[2] Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, Story Of The Message (Jakarta: Maghfirah Pustaka, 2008), h. 84
[3] Sanerya Hendrawan, Spiritual Management: From Personal Enlighment Towards God Corporate Governance, (Bandung: Pt Mizan Pustaka, 2009), 52
[4] Nazneen Binti Ismail & Mohd Noorikhwan Bin Sarbini, Peranan Uzlah Dalam Merawat Penyakit Rohani Muslim, (Selangor: Kuis), Artikel Jurnal, Jil.2 Isu 1, 2015
[5] Syekh Siti Jenar, Makna Kematian  (Jakarta: Pt Serambi Ilmu Semesta , 2007), h.xxii
[6] al-Ghazali (2012) Minhajul  Abidin (Jalan Para  Abid). Terj. Engku Ali Engku Endut. Kuala Lumpur: Pustaka Darul Iman.
[7] Muhibbuddin Waly (2004) Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf (al-Hikam). Singapura: Pustaka Nasional
[8] Majid Fakhri. (1968). Rasail Ibn Bajah al-Ilahiyyah. Beirut: Dar al-Nahar. AlMaktabah al-Syamilah. 2008. Edisi ke-2.
[9] Abdul Qadir Al-Jailani. Sirrur Ashror, (Beirut: Dar Fikr), hlm. 20
[10] Syaikh Muhammad Al-Ghazali, Fiqush Sirah, (Pajang,Solo : Media Insani Press), 132
[11] Syeikh Shaffiyyur Rahman Al-Mubarakfury, Sirah Nabawiah (Jakarta : Robbani Press), 20
[12] Syeikh Shaffiyyur Rahman Al-Mubarakfury, When The Moon Split, ( Saudi Arabia : Darussalam Publisher), 32
[13] Dr.Makmun Gharib, Kisah Hidup Sang Wali Dan Pesan-Pesan Yang Menghidupkan Hati, (Jakarta: Penerbit Zaman, 2014), 82
[14] Sirah Nabawiah, Mustafa Sibae, (Era Intermedia Sinopsis), 20
[15] Zakaria Stapa, Iktibar Daripada Kesohoran Al-Ghazali Dlm. Artikel Pemikir Januari-Mac 2006.
[16] Ramadhan Al-Buti, Fiqh Sirah, 34
[17] Ibid, 35
[18] Imam Al Ghazali, Ihya Ulumuddin, Ter. Abdul Rosyad Siddiq, (Jakarta: Ak Armedia Khazanah Buku Islam Rujukan, 2008) h.187 

No comments:

Post a Comment