Wednesday, 15 February 2017

Unsur Strategi Dakwah

                                                                                                                  






1.0 PENDAHULUAN
Setiap operasi yang dilaksanakan mempunyai garis panduan pelaksanaannya. Elemen perancangan, pengurusan, strategi dan kaedah merupakan antara aspek-aspek yang sangat penting dan perlu dititiberatkan dalam apa juga bentuk operasi yang mempunyai matlamat. Justeru, kepentingan aspek-aspek tersebut turut menjangkau dalam operasi dakwah kerana tujuan atau niat yang baik sahaja tidak boleh menjamin ke arah tercapainya matlamat sesuatu operasi dakwah. Perancangan dan pengurusan dakwah mempunyai garis panduan yang diperolehi menerusi nas al-Quran dan Hadis serta contoh ikutan yang boleh diperolehi menerusi sirah Rasulullah saw dan barisan khulafa al-Rasyidin seterusnya ulama yang menuruti keseluruhan panduan tersebut.
Berdakwah mempunyai bentuk dan kaedahnya yang tersendiri kerana setiap perkara yang wujud di alam ini mempunyai kaedah dan caranya yang tertentu sama ada cara hidup, cara mati, cara berkembang, cara membesar, cara bergerak atau c;ara-cara yang lain. Berdakwah bukanlah sekadar mengajak manusia kepada agama Allah semata-mata tetapi ia harus diiringi dengan uslub serta suatu tatacara yang baik agar dapat mempengaruhi orang yang diseru.
Penyusunan perancangan, kaedah, strategi dan pengurusan yang baik adalah penting untuk menjamin keberkesanan dan kejayaan usaha dakwah. Namun, persoalan sering timbul dalam kalangan pendakwah dan organisasi dakwah ialah berkaitan bentuk dan model kaedah berdakwah yang sesuai dan praktikal untuk dipilih sebagai panduan dalam pelaksanaan dakwah tersebut. Pengabaian terhadap aspek-aspek tersebut boleh menyumbang kepada kegagalan dalam proses dakwah malahan dalam beberapa keadaan, ia mungkin boleh menjauhkan sasaran dakwah daripada mengikuti aktiviti dakwah yang dianjurkan.
Peristiwa Perang Uhud merupakan antara contoh yang baik mengenai keperluan usaha yang tersusun dalam operasi perjuangan Islam. Ternyata kemenangan tidak akan tercapai semata-mata dengan niat yang baik atau menjadi golongan Islam. Tentera Muslimin telah mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud disebabkan kecuaian mematuhi arahan serta penyusunan yang telah ditetapkan oleh seorang ketua.
Islam menyediakan landasan serta kaedah dakwahnya yang unggul melalui Al-Quran, Al-Hadis mahupun sirah dakwah para rasul. Di antaranya ialah kepentingan aspek penyusunan dan perancangan yang rapi. Kepentingannya di dalam penyusunan barisan peperangan telah dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNya dalam al-Quran, surah As-Saff: ayat 4:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"
Daripada ayat di atas dapatlah difahami bahawa Allah SWT menyatakan di antara sifat-sifat orang yang dikasihi olehNya ialah berjuang di jalanNya dalam satu barisan yang tersusun kukuh. Penyusunan yang rapi sangat penting dalam setiap usaha dakwah Kepentingannya turut disokong dengan kata-kata Saidina Ali k.w.h. yang menyatakan bahawa makruf yang tidak teratur dan tersusun itu boleh dikalahkan oleh mungkar yang teratur dan tersusun rapi
Selain itu, Al-Quran turut menjelaskan di antara asas-asas utama sebagai panduan dalam merencana aplikasi pendekatan dalam berdakwah melalui firmanNya dalam al-Quran, surah An-Nahl, ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
Demikianlah, kepentingan elemen utama perancangan dan pengurusan ini tidak boleh dinafikan dalam strategi dakwah. Pengabaian terhadapnya akan menyebabkan Islam berhadapan dengan ancaman dan cabaran yang getir. Islam adalah suatu agama yang sempurna serta indah dan Islam tidak dianuti serta dihayati oleh sesetengah manusia bukan disebabkan ajarannya tidak sempurna tetapi atas faktor-faktor lain berpunca daripada kelemahan umat Islam menghayati dan mematuhi ajaran Islam.





2.0 DEFINISI UNSUR-UNSUR STRATEGI DAKWAH[1]
Melalui kajian ini, terlebih dahulu kita meneliti secara mendalam erti kata unsur strategi dakwah sebelum melalui perbahasan seterusnya. Secara etimologi atau bahasa, unsur sinonim dengan perkataan elemen, bahagian, komponen dan bahan asal. Manakala, strategi berasal dari bahasa Yunani iaitu dari kata “stragos” atau “strategis” dengan kata jamak strategi yang beerti jenderal, tetapi dalam Yunani kuno beerti perwira negara dengan fungsi yang luas. Strategi adalah perencanaan yang cermat mengenai kegiatan untuk mencapai suatu sasaran khusus. Oleh itu, strategi dakwah ertinya metode, siasah, taktik, perkara pokok atau perancangan yang dipergunakan dalam aktiviti (kegiatan) dakwah.
Proses menyusun atur strategi dalam dakwah merupakan fungsi yang sangat penting, bahkan menentukan jalanya proses dakwah, sehingga dapat dikatakan bahawa penggerakan itu merupakan intinya pengurusan dakwah. Oleh kerana, pengurusan strategi bererti proses pergerakan para pelaku dakwah untuk melakukan aktiviti dakwah. Pergerakan dakwah di sini adalah meminta pengorbanan para pelaksana untuk melakukan- kegiatankegiatan dalam rangka dakwah. Hal ini akan mudah berlaku bilamana pendakwah mampu memberikan motivasi, membimbing, mengkoordinator, dan menjalin hubungan sesama sasaran serta selalu meningkatkan kemampuan dan keahlian mereka.
Oleh yang demikian, dapat diperhalusi bahawa, definisi unsur-unsur strategi dakwah secara umum digambarkan sebagai perkara asas yang padu dari perencanaan dan pengurusan dakwah untuk mencapai suatu tujuan sesuai dengan ajaran Islam. Bagi mencapai tujuan tersebut, strategi dakwah perlu mempraktikkan strategi operasinya (operational) secara sistematik yang harus dilakukan, dalam erti kata lain pendekatan (approach) yang pelbagai bergantung pada situasi sasaran dan keadaan persekitaran.






3.0 KONSEP PENGURUSAN DALAM STRATEGI DAKWAH
Kajian ini juaga mendapati bahawa memahami konsep pengurusan adalah suatu perkara yang perlu diambil berat oleh setiap yang bergelar pendakwah. Ianya merupakan sebuah mekanisme strategi pemasaran yang perlu digunapakai dalam menyebarkan risalah Islam iaitu dakwah Islamiah. Sistem pengurusan Islam adalah satu sistem yang sangat lengkap dan sistematik dimana ia berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Prinsip pengurusannya jelas, merangkumi penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang menyeluruh dan terperinci. Selain itu, ianya mengandungi motivasi yang mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan tidak semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja.
Secara umumnya pengurusan strategi dakwah boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Urusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen atau unsur utama iaitu:
        i.            Pengurus (Pendakwah)
      ii.            Sasaran
    iii.            Tatacara atau garis panduan pengurusan strategi dakwah
Definisi pengurusan seperti yang telah dinyatakan menjelaskan beberapa sebab pengurusan amat perlu bagi setiap pendakwah. Antara keperluan pengurusan termasuklah :
        i.            Tanpa pengurusan, seseorang pendakwah tidak mungkin dapat beroperasi dengan lancar dan bersistematik
      ii.            Pengurusan perlu supaya kerja yang sepatutnya dapat dilaksanakan dengan cekap dan pantas
    iii.            Pengurusan dapat membantu pendakwah  mencapai objektif yang dikehendaki
    iv.            Pengurusan perlu bagi membolehkan pendakwah menangani perubahan
      v.            Pengurusan sebagai tuntutan fardhu kifayah ke arah mencapai al-falah



Secara khususnya, kami telah membahagikan dan memilih lapan elemen utama dalam strategi dakwah Islam, iaitu:
        i.            Analisis awal
      ii.            Matlamat yang jelas (clear objectives)
    iii.            Perancangan (planning)
    iv.            Pelaksanaan (operation)
      v.            Pendekatan (approach  mad’u)
    vi.            Tema dakwah (topic)
  vii.            Etika pendakwah
viii.            Pengawalan




















3.1  ANALISIS AWAL
Sebelum mengenalpasti strategi dakwah yang perlu dirangka dan dilaksanakan, analisis awal perlu dibuat terhadap beberapa aspek. Paling utama adalah dalam aspek tujuan Da’ie atau pendakwah menyampaikan dakwahnya. Pendakwah khususnya perlu tahu hakikat mengapa dirinya ditaklifkan dengan amanah menyebarkan dan menyampaikan dakwah. Memetik ayat al-Quran dari surah az-Zariyat ayat 56 yang membawa maksud :
“Dan tidak aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mengabdikan diri kepadaku (Allah).”
Sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah, tugas penyebaran ini perlu dilaksanakan. Telah Allah ciptakan hambanya khusus untuk melaksanakan perintahnya dan memakmurkan bumi dengan segala kebaikan. Sungguhpun sebahagian manusia sering alpa dan terleka dengan kenikmatan dunia, itulah yang menjadi tugas bagi sebahagian yang lain dalam mengingatkan kepada kebaikan dan berusaha menbanteras kemungkaran. Allah berfirman dalam surah al-Imran ayat 104 yamg membawa maksud :
“ Dan hendaklah ada diantara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”
Analisis juga perlu dibuat keatas aspek sasaran, atau mad’u yang akan menerima dakwah tersebut. Antara analisis yang perlu dibuat berkaitan bagaimana persekitaran mereka kerana melaluinya strategi yang dibuat lebih tepat dan berkesan ke atas sasaran. Seterusnya, analisis terhadap pendekatan yang sesuai untuk dikaji dan digunakan supaya dakwah yang disampaikan nanti diterima dan mampu dipraktikkan dalam kehidupan sasaran. 
Analisis terhadap aspek isi dakwah yang hendak disampaikan juga perlu diteliti dan dibuat agar keperluan mesej utama dalam keadaan tertentu sasaran dapat diberikan dan diisi oleh pendakwah. Jika percanggahan berlaku antara keperluan utama sasaran terhadap isi dakwah dengan isi dakwah yang disampaikan oleh pendakwah, maka bimbang akan berlakunya penolakan sasaran terhadap dakwah Islam.
Tuntasnya, analisis awal terhadap ketiga-tiga aspek ini merangkumi analisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada agar strategi yang dirangka dan dilaksanakan mencapai matlamat dan mampu menarik ramai golongan untuk mendekati dakwah islam dan islam keseluruhannya.

3.2  MATLAMAT YANG JELAS
Penentuan matlamat yang jelas amat penting sebagai suatu pengakhiran yang ingin kita capai dan menjadi benteng serta garis panduan agar segala perancangan dan pelaksanaan tidak tersasar dan menyimpang daripada tujuan dan matlamat asal strategi dakwah disusun. Dalam mengenal pasti hala tuju dakwah dan keberkesanannya dalam jangka masa panjang, akan terlihat melalui sejauh mana matlamat dicapai dari semasa ke semasa. Matlamat utama yang perlu dicapai dalam gerak kerja dakwah adalah untuk mendapat keredhaan Allah. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 62 bermaksud :
“Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan daripada Allah dan RasulNya, sekiranya mereka adalah daripada orang yang beriman.”
Manakala, matlamat sampingan dalam penyusunan strategi dakwah ini adalah agar dakwah Islam diterima setiap lapisan dan golongan masyarakat sama ada mereka yang beragama Islam ataupun tidak. Islam RahmatanLil Alamin menjadi cogan kata penting dalam penyebaran Islam ke serata dunia. Menunjukkan bahawa matlamat dalam strategi penyebaran Islam haruslah bersifat sesuai dalam keadaan tertentu dan memberi rahmat dan menyebarkan kasih sayang sesama masyarakat.








3.3  PERANCANGAN
Perancangan yang baik haruslah teliti dan berpandangan jauh serta dibuat dengan mengambil kira faktor persekitaran dari sudut peluang dan ancaman. Selain itu, perancangan perlu diatur bersesuaian dengan misi, visi, objektif , polisi dan kaedah dalam mencapai objektif dan matlamat dakwah[2]. Langkah awal sesebuah perancangan memerlukan kepada pembentukan organisasi yang bertindak sebagai pengatur dan perlaksana segala perancangan dan pelaksanaan dalam strategi dakwah.
Merujuk sirah Rasulullah S.A.W, bagaimana perancangan yang dibuat secara teliti oleh baginda selaku ketua atau pemimpin sebuah organisasi, sebelum penghijrahan ke Madinah akhirnya membawa kepada pelaksanaan yang lancar dan teratur. Bagaimana Rasulullah memilih individu yang bersesuaian dalam setiap tugasan, serta masa dan tempat yang selamat daripada ancaman dan halangan yang boleh merenjatkan perjalanan dan perancangan yang dibuat[3].
Begitu juga halnya dalam perancangan dakwah masa kini. Proses atau peringkat yang disusun dalam menghasilkan strategi dakwah perlulah menggunakan peluang yang ada dan berhati-hati daripada ancaman yang berkemungkinan timbul. Sebagai contoh, perancangan yang dibuat dalam menyampaikan mesej dakwah kepada golongan remaja yang sukakan hiburan. Pemilihan watak si pendakwah perlulah bersesuaian dan boleh diterima oleh golongan ini. Selain itu, kaedah dalam perancangan perlulah berhati-hati dengan mengambil kira ancaman yang perlu dielakkan dan peluang yang boleh diraih untuk mendapatkan perhatian mereka.








3.4  PELAKSANAAN
Segala matlamat, analisis, dan perancangan yang dibuat untuk menghasilkan strategi dakwah yang berkualiti akan menjadi sia-sia dan membuang masa tanpa adanya pelaksanaan yang kukuh dan membuahkan hasil. Menurut George A. Steiner, seorang tokoh dalam pengurusan strategi, ‘Proses pelaksanaan haruslah meliputi segala perihal pengurusan aktiviti termasuk motivasi, pampasan (ganjaran kebaikan), penilaian pengurusan dan proses pengawalan.’[4]
Motivasi dalam pelaksanaan strategi dakwah amat penting agar dakwah itu mampu dilaksanakan secara konsisten, tidak mudah terputus ditengah jalan akibat daripada halangan sepanjang proses pelaksanaan dilakukan. Pampasan pula dalam konteks penyebaran strategi dakwah membawa maksud ganjaran dalam bergerak kerja. Setiap manusia menyukai ganjaran, termasuk kita sebagai hamba Allah yang suka akan ganjaran pahala dan syurga yang Allah janjikan. Begitu juga para penggerak strategi dakwah, pampasan yang diharapkan dari sudut kerdhaan Allah dan penerimaan atau keberjayaan dalam pelaksanaan dakwah juga amat memberi erti dalam gerak kerja dakwah yang dilakukan. Penilaian pengurusan dapat dibuat dari semasa ke semasa sepanjang pelaksanaan strategi dakwah dibuat. Elemen penilaian ini menjadi unsur penting untuk mengukur sejauh mana keberkesanan perancangan dan pelaksanaan dibuat. Pelaksanaan strategi dakwah yang tidak terkawal juga boleh member kesan yang buruk pada gerak kerja dakwah. Oleh itu, terdapat elemen pengawalan dalam pelasaaan strategi dakwah yang akan dibincangkan secara lanjut dihujung tugasan ini.
Menurut Kustadi Suhandang dalam bukunya ‘Strategi Dakwah : Penerapan Strategi Komunikasi Dalam Dakwah’ beliau menekankan aspek komunikasi sebagai strategi dalam  pelaksanaan dakwah. Hal ini kerana, komunikasi adalah alat utama dalam penyebaran dakwah dan penilaian terhadap komunikasi yang berkesan dapat dilihat melalui keberkesanan dakwah diterima dan disampaikan.





3.5 PENDEKATAN DAKWAH (METODOLOGI DAKWAH)
Objektif utama dakwah ialah supaya sasaran menerima apa yang disampaikan kepadanya. Oleh itu, dakwah memerlukan metod. Dalam menggerakkan agenda dakwah, elemen  metodologi atau pendekatan yang jelas perlulah dipersiapkan dalam  diri setiap pendakwah. Apa yang dimaksudkan dengan metod dakwah? Apakah hubung kaitnya dengan uslub dan manhaj?
Metod (metode) bererti cara melakukan sesuatu atau sistem. Ia berasal daripada bahasa Inggeris (method) yang bererti sistem, aturan atau kaedah[5]. Pemakaian metod dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sama ertinya. Uslub ialah satu perkataan Arab yang bererti jalan atau cara[6]. Manakala dari istilah dakwah, uslub dakwah ialah penyampaian kandungan atau isi dakwah dengan ibarat atau bentuk tertentu. Manakala manhaj atau minhaj juga satu perkataan Arab yang beerti jalan atau cara. Adapun wasilah iaitu satu istilah yang memberi maksud media atau saluran penyampaian kandungan yang biasanya melalui media massa[7]. Oleh yang demikian, istilah-istilah disebutkan diatas mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain kerana mempunyai makna yang dekat padanya.
Kesimpulannya, metod dakwah juga dikenali sebagai perkara-perkara yang berhubung dengan cara penyampaian Islam dan menghilangkan halangan-halangan dalam penyampaian sehingga mendatangkan kesan pada diri dan jiwa individu. Ianya satu elemen strategi dakwah yang amat penting dalam mengikuti kaedah tersendiri dan perancangan yang tersusun rapi. Jika dirujuk kepada sejarah dakwah Nabi Muhammad saw, ia dilakukan dalam bentuk yang menarik dan tersusun. Keadaan demikian sudah tentu tidak dilakukan secara kebetulan, tetapi berdasarkan suatu kaedah yang tersusun. Inilah metod dakwah yang perlu diikuti oleh umatnya hingga kini.
Metod dakwah adalah satu warisan. Ia wujud bersama wujudnya usaha dakwah yang telah dilakukan oleh Nabi saw khususnya. Menurut Al-Bayanuni, metodologi dakwah juga diertikan sebagai sistem dakwah dan juga perancangan rasmi dakwah. Beliau mengklasifikasikan metodologi dakwah kepada empat bahagian iaitu yang melibatkan (1) sumber, (2) kandungan, (3) sifat dan (4) fokus. Dari segi sumber, metodologi dakwah mempunyai dua bahagian iaitu rabbaniyyah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith serta melalui bashariyah iaitu dari ulama dan fuqaha. Seterusnya dari segi metodologi kandungan dipecahkan kepada kaedah akidah, ibadah, kemasyarakatan, ekonomi, pertahanan, politik, kesihatan dan sebagainya. Manakala dari segi sifat dalam pecahan metodologi dakwah merujuk kepada dakwah berbentuk interpersonal atau fardiyyah dan juga secara berjemaah serta kepada muslim dan juga bukan muslim. Pecahan keempat di dalam metodologi dakwah adalah dari segi fokus. Fokus di sini merujuk kepada fitrah insan yang terbahagi kepada tiga metodologi iaitu metodologi emosi, metodologi logik dan metodologi pancaindera[8].
Zaydan menjelaskan bahawa sumber metodologi dakwah itu datangnya dari al-Quran, al-Sunnah, perjalanan hidup tokoh-tokoh terdahulu, ijtihad ahli fekah dan pengalaman atau percubaan[9]. Namun, sumber pokok metod dakwah adalah tiga sahaja, iaitu:
1.      Al-Quran
2.      Al-Sunnah
3.      Pengalaman berdasarkan keadaan sasaran

Asas Metod Dakwah
Metod dakwah ialah cara atau pendekatan dakwah untuk membolehkan sasaran menerima sesuatu dakwah dengan kefahaman yang jelas dan kesedran yang penuh, tanpa rasa paksaan, tekanan dan tertipu. Dengan itu, asas metod dakwah ialah sebagaimana berikut[10]:
1.      Penjelasan yang nyata dan jelas:
Segala pengajaran atau mesej yang hendak disampaikan kepada sasaran hendaklah dalam bentuk yang jelas, sehingga tidak membawa kepada kekaburan dan salah faham. Dalam hal ini Allah menerangkan dengan firman-Nya:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَاحْذَرُوا ۚ   فَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Maksudnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang. (Surah Al-Maidah: 92)
Keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa penerangan yang jelas merupakan asas kepada penyampaian Islam kepada sasaran.
2.      Berperingkat-peringkat:
Dakwah membawa pengajaran atau mengenakan pengajaran kepada pengikutnya dalam keadaan berperingkat-peringkat, tidak sekaligus. Tujuannya supaya tidak memberatkan orang yang menerima dakwah itu. Contoh yang boleh dikemukakan adalah seperti kewajipan-kewajipan yang dikenakan ke atas orang Islam yang mana tidak dibawa dalam bentuk sekaligus. Kewajipan-kewajipan diturunkan satu demi satu. Begitu juga pengharaman arak misalnya, ia tidak dilarang secara terus, malah secara peringkat demi peringkat. Dengan yang demikian, berperingkat-peringkat itu merupakan satu cara Islam memberi pengajaran kepada sasaran.
3.      Mudah:
Agama Islam disampaikan kepada sasaran dengan cara yang mudah, kerana Islam itu sendiri mudah, iaitu selaras dengan tabiat semulajadi manusia. Melalui agama ini, Allah ingin memudahkan manusia, terutamanya dalam kelonggaran hukum atas sebab-sebab yang munasabah. Allah berfirman:
يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu (Surah Al-Baqarah: 185)
4.      Menjinakkan:
Dalam hal ini Allah swt berfirman:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظَّاغَلِظَ اْلقَلْبِ لاٰنْفَضُّوْا مِنْ حَوِلِكَۖ
Maksudnya: Maka disebabkan rahmat dari Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bercakap kasar dan berhati keras tentulah mereka jauh menjauhkan diri dari engkau. (Surah Ali-‘Imran: 159)
Dalam keterangan ayat di atas jelaslah bahawa dakwah Islamiyyah dilakukan dalam keadaan berjinak-jinak dengan sasarannya.

5.      Menjelaskan sebab di sebalik sesuatu suruhan dan larangan:
Suruhan dan larangan yang terdapat dalam Islam selalunya diselitkan dengan sebab-sebab mengapa dilakukan sedemikian. Contohnya seperti sembahyang, yang suruhannya ada tujuan yang tertentu. Firman Allah:
اُتْلُ مَآ اُوحِيَ اِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَاَقِمِ الصَّلَوةَۖ اِنَّ الصَّلَوةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِۗقلى وَلَذِكْرُ اللهُ اَكْبَرُقلى وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ
Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah kekejian dan kemungkaran. (Surah Al-Ankabut: 45)
Demikian juga seperti judi, yang larangannya ada sebab tertentu. Firman Allah:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).
Ayat pertama di atas jelas menunjukkan faedah yang didapati di sebalik sembahyang, manakala ayat yang kedua menjelaskan akibat-akibat buruk di sebalik melakukan tegahan arak dan judi.
6.      Mesej yang bersesuaian dengan keadaan sasaran:
Mesej yang dibawa melalui dakwah bersesuaian dengan tahap pemikiran dengan sesuatu golongan sasaran. Untuk menerangkan keadaan tersebut Sayyidina Ali k.w. pernah berpesan:
حَدٍّثوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ
Maksudnya: Bercakaplah dengan orang lain berdasarkan kefahaman mereka ( dalam lingkungan yang mereka boleh faham)
Dengan yang demikian, tahap kefahaman sasaran hendaklah diambil kira dalam sesuatu dakwah, supaya dakwah membawa kesan. Secara kesimpulannya, keenam-enam perkara yang telah dijelaskan merupakan asas kepada metod dakwah yang perlu dipraktikkan dalam memastikan kerja dakwah berjalan dengan baik dan lancar.
Metod Pada Strategi Dakwah Nabi S.A.W
Dakwah adalah satu tanggungjawab yang besar ke atas setiap orang Islam. Jika dikaji dakwah Nabi s.a.w didapati bahawa sejarah dakwahnya penuh dengan perancangan dan strategi. Berikut akan dikemukakan beberapa contoh perancangan dan strategi dakwah Nabi s.a.w:
1.      Nabi s.a.w memulakan dakwahnya dalam kalangan keluarganya sendiri, terutamanya yang terdekat. Apabila keluarganya sendiri memeluk Islam, ia akan menjadi benteng pertahanan yang kuat kepada dakwah dari ancaman luar.
Firman Allah dalam surah al-Syu’ara  `, ayat 214 :
وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
Maksudnya: Dan berilah peringatan (dengan dakwah)  kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.
Berdasarkan ayat tersebut Nabi s.a.w menyeru isterinya, Khadijah, anak angkatnya Zaid Bin Harith dan sepupunya Ali Bin Abu Talib kepada Islam. Dengan seruan itu, mereka semua memeluk Islam. Nabi s.a.w juga selepas itu menyeru ahli keluarga yang lain[11].
2.      Di samping keluarga terdekat, Nabi s.a.w mendahulukan dakwah kepada golongan yang ada tanda-tanda akan menerima Islam dan yang berpotensi dalam dakwah. Mereka itu seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Nabi s.a.w pernah berdoa supaya Allah memberikannya petunjuk kepada Islam. Dengan keislaman orang yang berpotensi dalam masyarakat, Islam lebih cepat berkembang disamping mengurangkan tentangan musuh[12].
3.      Nabi s.a.wmengadakan dakwah pada peringkat permulaan secara senyap-senyap atau bersembunyi selama tiga tahun. Satu pusat untuk mengendalikan dakwah tersebut ialah di rumah Ibn Abi al-Arqam. Melalui cara tersebut pihak musuh tidak sempat mengesan perkembangan dakwah[13]. Pihak musuh hanya sedar tentang perkembangan dakwah setelah ia agak kuat dengan bilangan pengikut yang ramai berjaya diislamkan.
4.      Setelah Islam mendapat tentangan yang kuat dari pihak musyrikin Makkah dan mengakibatkan ramai orang Islam menderita, terutamanya orang miskin, hamba dan orang yang tiada kedudukan dalam masyarakat. Maka, Nabi s.a.w membuat perancangan supaya orang Islam yang terlibat berpindah ke Habsyah. Dengan berlakunya penghijrahan tersebut, bukan setakat orang Islam yang berjaya melepaskan diri daripada ancaman Makkah, malah yang lebih penting dakwah Islam mula diperkenalkan di Habsyah[14].
5.      Nabi s.a.w menyuruh Ali Bin Abi Talib menggantikannya di tempat tidur semasa baginda keluar untuk berhijrah ke Madinah, supaya disangka oleh musuh bahawa baginda masih berada di tempat tidurnya. Setelah keluar dari rumah, dengan ditemani oleh Abu Bakar mereka berdua pun menuju ke arah yang berlawanan dengan tempat yang hendak dituju, iaitu Madinah sehingga sampai ke Gua Thur dan bersembunyi di dalamnya selama tiga malam. Strategi Nabi s.a.w yang demikian itu supaya tidak dikesan oleh pihak musuh yang sudah tentu mencari-cari Nabi s.a.w di kawasan-kawasan yang menghala ke Madinah[15].
6.      Setelah berpindah ke Madinah, Nabi s.a.w mengadakan hubungan baik dengan suku kaum di Madinah termasuk dengan orang-orang Yahudi. Untuk tujuan tersebut satu perjanjian telah diwujudkan. Melalui perjanjian tersebut, masing-masing pihak hendaklah hidup secara harmoni dan menjaga kerukunan hidup penduduk di Madinah dengan tanpa mencerobohi antara satu sama lain.
Disamping itu, Nabi s.a.w mengadakan hubungan baik dengan kabilah-kabilah yang ada disekeliling Madinah. Dengan adanya hubungan tersebut, yang membawa kepada keamanan hidup di Madinah, maka Nabi s.a.w dan orang Islam dapat menumpukan kepada dakwah dan persiapan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan cepat bagi menghadapi ancaman-ancaman peperangan selepas itu. Selain itu, Nabi s.a.w juga mengatur strategi yang berhubung dengan perang. Hasilnya, walaupun tentera  Islam dalam serba kekurangan tetapi mereka dapat mencabar musuh, yang dengan itu dapat meninggikan imej orang Islam.
Perancangan dan strategi dakwah pada zama mutakhir ini amat penting. Keadaan sasaran yang pelbagai, samada orang Islam atau bukan Islam, dakwah hendaklah dilihat secara terbuka dan tersusun. Tambahan pula, zaman sekarang adalah zaman perancangan dan strategi, yang mana untuk melakukan kerja yang kecil juga perlu kepada perancangan dan strategi; maka pelaksanaan dakwah yang merupakan perkejaan yang besar dan mencabar lebih memerlukan perancangan dan strategi.

3.6 TEMA DAKWAH (TOPIC)
Islam adalah sebagai satu cara hidup. Maka dengan itu, ianya tidak dapat dipisahkan dengan paksi Islam itu sendiri iaitu tauhid. Melalui ‘roh tauhid’ inilah masyarakat jahiliah Arab bangkit daripada kehidupan yang penuh kesesatan dan kejahilan kepada satu bangsa yang agung dan hebat pada satu ketika dahulu.
Oleh itu, pendekatan tema utama dan yang bersepadu dalam strategi dakwah islamiyyah semestinya berteraskan kepada konsep tauhid. Tauhid merupakan intipati ajaran Islam. Maka, tauhid bermakna hanya Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian makhlukNya. Konsep tauhid mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Keesaan Allah SWT bukan hanya sebagai konsep metafizik tetapi lebih merupakan doktrin yang dinamik dan revolusioner.
Hal ini bermakna setiap manusia adalah makhluk Allah SWT. Konsep ini meletakkan kedudukan manusia pada tahap yang sebenarnya dalam alam dan menerangkan kenapa dan untuk tujuan apakah manusia diciptakan oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta, sementara manusia telah ‘dilantik’ sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Jelaslah bahawa, matlamat dakwah yang utama ialah membawa manusia kenal kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa dan mengamalkan nilai Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh, sesuai bagi kemajuan semua manusia.
Konsep tauhid bertujuan untuk menjalinkan ikatan di antara manusia dengan[16] :
1.      Penciptanya ( Hablun Minallah):
Konsep tauhid akan menjadikannya manusia itu orang yang soleh, berani dan berdiri tegak dalam kebenaran. Individu tersebut percaya dia tidak akan menempah kejayaan melainkan mereka mengikut perintah Allah SWT. Keyakinan seperti ini sudah tentunya akan menjadikan seseorang itu mengamalkan nilai-nilai murni, amanah dalam tanggungjawab dan rajin serta cekap menjalankan tugas sebagai Khalifah di bumi Allah. Para pendakwah perlu memperjelaskan unsur Ubudiyyah ini dalam diri  sasaran dakwah agar patuh kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT samada dalam aspek pendidikan, sosial, ekonomi , politik dan sebagainya.

2.      Sesama manusia ( Hablun Minannas ):
Menyeru manusia memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan kerjasama antara mereka bagi kesejahteraan hidup bermasyarakat. Hubungan di antara manusia sesama manusia hendaklah berlandaskan kepada nilai-nilai persaudaraan, toleransi, kasih sayang, persefahaman dan keadilan. Jika nilai-nilai ini diabaikan, masyarakat akan menjadi kucar-kacir, dipenuhi dengan syak wasangka, permusuhan dan perbalahan.
Hubungan ini memainkan peranan dalam membentuk nilai moral, etika dan akhlak sebagai seorang Muslim dalam berdakwah dan mempraktikkan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Kekuatan persaudaraan  amatlah penting dalam mencapai kemajuan akal, kesejahteraan hidup dan ketamadunan yang unggul tidak kira agama, bangsa dan perkauman. Islam sifatnya menyeluruh dan menghormati tatacara dan amalan agama lain tanpa mengadaikan prinsip juga dasar Islam yang sebenar. Justeru, topik utama dakwah perlu diberi perhatian dari aspek tauhid (mengenali Allah) dan juga aspek kekuatan persaudaraan ( pendidikan nilai moral dalam masyarakat), bagi membentuk pemikiran yang sihat dan tingkahlaku yang sesuai dengan tabie’ manusia sejagat.
Pendekatan yang bersepadu dalam pengurusan semestinya berteraskan konsep tauhid. Konsep tauhid ini mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian mahluk-Nya. Oleh itu sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam hendaklah berteraskan kepada konsep tauhid tersebut. Seandainya semangat tauhid ini dijiwai dan dipraktikkan oleh individu Islam dengan sebenar-benarnya, maka sudah semestinya ianya akan menghasilkan implikasi dan impak yang sangat hebat dalam kehidupan seharian.






3.7 ETIKA PENDAKWAH[17]
Setiap profession mempunyai etikanya yang tersendiri. Semakin tinggi taraf keprofesionalan sesuatu bidang, maka semakin tinggi dan tegas kod etika profesion tersebut. Sejarah telah membuktikan kepentingan etika dalam kehidupan dan ianya telah menjadi topik perbincangan sejak zaman dahulu lagi. Etika merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana ianya menjadi asas untuk seseorang bertindak yang akhirnya menjadi nilai yang dihormati dan diterima-pakai dalam masyarakat. Begitu juga dengan etika pendakwah dalam mengerakkan strategi dakwah Islam. Ianya mempunyai etika tersendiri yang mampu menyumbang kepada kejayaan dan kemantapan dakwah yang disampaikan kepada masyarakat.
Dalam Islam, etika atau moral ini mirip kepada konsep akhlak walaupun ianya berbeza dengan moral Barat. Hal ini kerana akhlak dalam Islam, dasarnya ditentukan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Ianya bersifat mutlak, menyeluruh dan mempunyai pertimbangan dosa dan pahala.
ETIKA PENDAKWAH ISLAM
Islam juga telah menggariskan etika kerja mahupun dalam berdakwah yang perlu dihayati oleh para penganutnya dalam aktiviti harian mereka. Etika kerja ini merupakan salah satu aspek utama dalam sistem pengurusan Islam. Sebagai garis panduan, Prof Dr. Muhammad Abdul Rauf telah mengemukakan sepuluh etika kerja yang perlu dipraktikkan untuk mewujudkan Sistem Pengurusan Islam yang kukuh. Etika kerja tersebut, secara ringkasnya adalah seperti berikut:
1.      Etika kerja untuk semua peringkat

        i.            Objektif jangka panjang di dunia ini hendaklah dihubungkaitkan dengan objektif jangka panjang yang sebenarnya iaitu beribadah kepada Allah swt dan memohon keredaan-Nya.
      ii.            Nilai-nilai agama dan moral hendaklah diambil kira semasa berdakwah.
    iii.            Masa mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya dan bukan untuk disiasiakan.
    iv.            Nilai-nilai luhur dalam etika Islam seperti amanah, dedikasi, disiplin, kejujuran, menahan diri dan ketakwaan hendaklah diamalkan.
      v.            Sikap menilai diri sendiri mestilah sentiasa diamalkan supaya kesalahan atau kesilapan tidak dilakukan dengan berulang-kali

2.      Tanggungjawab pendakwah

        i.            Amanah : seseorang pendakwah perlu mempunyai sikap amanah dalam setiap pekerjaannya sama ada yang melibatkan urusan peribadi (dalam melaksanakan tanggungjawab kepada Allah) atau urusan kemasyarakatannya (tugas atau tanggungjawab yang diberikan kepadanya) secara konsisten.
      ii.            Adil: Mempunyai sikap adil dalam pengendalian urusan orang lain dan tidak menzalimi mereka dengan tidak menyerahkan apa yang menjadi hak mereka.
    iii.            Tekun: Ketekunan adalah satu sifat yang diperlukan oleh seseorang pendakwah. Setiap pendakwah akan dapat meningkatkan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas sekiranya mereka tekun
    iv.            Sempurna: Seseorang itu perlu melaksanakan kerja dengan sempurna, walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri.
      v.            Bersatu padu: setiap pendakwah memerlukan sikap menyatupadukan usaha mereka supaya matlamat dakwah tercapai. Sekiranya tidak ada perpaduan, sudah tentu dakwahnya tidak berkesan dan sempurna.
    vi.            Produktiviti: Produktiviti pendakwah perlu dipertingkatkan dalam menambahkan kualiti dan mutu organisasi dalam mencapai matlamat. Jika produktiviti seorang pendakwah itu tidak mengalami perubahan atau peningkatan, ia akan menyebabkan mutu dan kualiti menurun dan tidak dapat mencapai matlamat yang diharapkan.
  vii.            Kebahagiaan manusia sejagat: Setiap pendakwah hendaklah memberi layanan dan khidmat yangsama kepada semua orang tanpa mengira kaum ataupun agama orang yang berkaitan menurut ajaran Islam. Sebagaimana hadith Nabi SAW yang bermaksud :"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang tidak menyukar-nyukarkan pekerjaan dan yang jernih mukanya dalam menghadapi manusia."


3.      Penampilan diri, personaliti dan bahasa badan[18]
Penampilan diri dan personaliti seseorang menggambarkan sikap, perwatakan dan peribadinya yang sebenar. Seperti contohnya pakaian yang dipakai boleh memberikan imej samada pemakainya bersikap teliti, peramah, berfikiran mantap, berdisiplin atau sebaliknya. Selain itu, ia juga dapat dilihat dari aspek perilaku, kesopanan dan kehalusan budi pekerti, penyesuaian diri dengan masa, tempat dan sebagainya.
Bahasa badan turut memainkan peranan yang cukup penting dalam komunikasi. Dikatakan terdapat sebanyak 750000 bentuk bahasa badan seperti postur tubuh, penampilan, kontak mata, mimik muka dan padding, iaitu perkataan-perkataan seperti ”ah”, ”uh” dan sebagainya. Bahasa badan ini penting untuk menilai maksud sebenar sesuatu maklumat terutamanya apabila terdapat percanggahan dalam perkara yang diungkapkan seperti lisan.
4.      Kemahiran berbicara dan berbahasa
Dalam komunikasi berdakwah, pendakwah perlulah menguasai selok-belok berbicara dengan baik kerana ia dapat menimbulkan kuasa pengaruh dan bahasa yang lebih mudah diterima serta memberi kesan yang mendalam di lubuk jiwa. Antara contoh kemahiran beebicara dan berbahasa yang boleh diamalkan ketika berdakwah ialah :
i. Menggunakan bahasa yang mudah difahami
Perkara ini sangat perlu ditekankan kerana tidak semua sasaran dakwah mempunyai tahap ilmu dan kemampuan yang sama. Penggunaan bahasa yang kurang difahami menyukarkan komunikasi dan menghalang penerimaan mesej yang ingin disampaikan.
ii. Isi bicara hendaklah benar
Kebenaran isi perbicaraan amat penting kerana ia merupakan sumber kredibiliti seseorang pendakwah dengan orang yang mendengar isi dakwah disampaikan.
iii. Nada suara yang terkawal dan sesuai
Pendakwah perlu mengawal kelembutan bicara dan kelunakan suara agar dapat berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini amat jelas kerana nada suara kadangkala boleh menimbulkan tanggapan yang pelbagai kepada pendengar.
iv. Berhujahlah dengan waras
Dalam menyampaikan dakwah, kadangkala pendakwah perlu berdepan dengan situasi yang memerlukannya untuk berhujah atau menerangkan sesuatu hal. Dalam menghadapi situasi tersebut, mereka perlulah berusaha mengelakkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan kontroversi kerana tujuan utama berhujah bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi untuk menyerlahkan kebenaran.
v. Meninggalkan celaan dan mengumpat
Bagi seseorang yang ingin mengukuhkan kredibiliti, seharusnya merebut peluang berkomunikasi dengan menitikberatkan keistimewaan dan kekuatan orang lain, bukannya mencari kesalahan dan mendedahkan keaiban sesuatu golongan.
vi. Bercakap dengan lemah lembut dan bersopan
Dalam berbicara dan berbahasa di tempat kerja perlulah berkomunikasi dengan lembut dan bersopan kerana Allah telah menekankan kepada manusia untuk berbicara dengan perkataan yang baik dan membiasakan diri dengan ucapan-ucapan yang baik.
vii. Menyebut perkara yang penting berulang-kali
Tindakan ini diamalkan bagi memastikan para pendengar betul-betul jelas dan dapat memahami apa yang disampaikan dengan baik. Prinsip ini amat bersesuaian dengan apa yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw. Apabila baginda memperkatakan sesuatu perkara yang penting dan rumit, baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali. Baginda juga berbuat perkara yang sama dalam sesuatu majlis yang dihadiri oleh ramai orang kerana bimbang suaranya tidak dapat didengari dengan baik.
Oleh yang demikian, etika amat penting dalam strategi menyampaikan dakwah bagi memastikan sasaran lebih yakin dan menghormati penyampaian isi dakwah.







3.8 PENGAWALAN DALAM STRATEGI DAKWAH[19]
Untuk memastikan perancangan, pengorganisasian dan pengarahan  dilaksanakan dengan baik, ia memerlukan pengawasan. Pengawasan dalam konteks organisasi yang boleh digunapakai dalam strategi berdakwah iaitu satu proses dalam menentukan kerja atau aktiviti dakwah yang dilakukan supaya berjalan lancar mengikut perancangan yang sedia ada. Proses kawalan biasanya melibatkan beberapa kegiatan. Pengawalan tersebut biasanya melibatkan perkara-perkara berikut yang boleh dipraktikkan dalam dakwah:
        i.            Menetapkan piawaian atau ukuran yang hendak dicapai berkaitan dengan matlamat dakwah
      ii.            Mengukur pencapaian yang dicapai berbanding dengan matlamat yang disasarkan
    iii.            Mengenalpasti masalah dan penyelewengan jika ada dalam proses dakwah
    iv.            Mengambil tindakan atau melakukan pembetulan terhadap masalah yang dihadapi
Dalam tradisi Islam, pengawalan ini amat diutamakan. Namun jika diteliti, Islam menekankan kawalan yang melibatkan pengawasan dan pengawalan “dalaman” yang bersifat kemanusiaan. Hal ini penting kerana unsur utama dalam organisasi ialah “manusia”. Pengawasan ini perlu dilakukan dengan melibatkan semua pendakwah . Kawalan pertama dalam tradisi Islam bersifat dalaman yang merujuk kepada kawalan bersifat peribadi. Ia juga berkaitan dengan sifat intergriti yang ada di dalam diri seseorang. Kawalan peribadi ini melibatkan perkara-perkara berikut :
        i.            Seseorang pendakwah perlu mempunyai sikap amanah dalam setiap pekerjaannnya sama ada yang melibatkan urusan peribadi atau urusan kemasyarakatan
      ii.            Mempunyai sikap adil dalam pengendalian urusan orang lain dan tidak menzalimi mereka dengan tidak menyerahkan apa yang menjadi hak mereka
    iii.            Seseorang itu perlu melaksanakan dakwah secara sempurna, walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri.



4.0 RUMUSAN
Adaptasi unsur atau elemen utama dalam strategi dakwah menumpukan kepada kepentingan membuat analisis awal berkaitan komponen dalam strategi dakwah, penentuan matlamat yang jelas dan membawa kepada kesan jangka masa panjang, rancangan yang teliti dan mengambil kira aspek-aspek penting strategi dakwah, pelaksanaan yang konsisten, meneliti keperluan dan kehendak sasaran dakwah, konsep pengurusan dan pengawalan, metodologi dakwah yang berkesan, etika seorang pendakwah yang kesemuanya sangat berkait rapat dan saling lengkap-melengkapi.
Strategi dakwah amat penting dalam memastikan keberlangsungan gerak kerja dakwah di serata dunia. Tanpa strategi yang baik dan tersusun maka tidak berhasillah sesuatu dakwah itu disampaikan. Maka dalam mengatur strategi ini perlu kepada organisasi dan pengurusan yang baik. Unsur-unsur utama yang dinyatakan dalam tugasan ini tidak dapat tidak menjadi kewajipan untuk dilakukan dalam satu-satu gerak kerja dakwah tidak kira oleh badan kerjaan ataupun NGO-NGO di Malaysia dan serata dunia.
Pelbagai sumber boleh dirujuk berkaitan unsur strategi ini. Namun, sebagai umat Islam, menjadi kepastian untuk menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama. Mengambil rujukan barat tidak salah selagi ia selari dengan ajaran Islam dan tidak bercanggah dengan apa yang dibenarkan oleh Allah dan RasulNya.














5.0 RUJUKAN

Nurul Khikmah (2011) Strategi Dakwah Pondok Pesantren Al-Mubarok Dalam Upaya
Pembinaan Keagamaan Masyarakat Sayung Demak, Semarang: Fakultas Dakwah Institut Agama Islam Negeri Walisongo.
Glenn Boseman, Arvind Phatak,(1989) Strategic Management,Text and Cases, second \     edition Canada, Wiley & Sons Inc.
Asmahan Mokhtar, Nurshahiza Mohamad Isa, Norni Abd Wahab, Pengurusan dalam Islam
Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi
Dr. Teuku Iskandar, (1986) Kamus Dewan Kuala Lumpur: DBP,
Louis Ma’luf, al-Munjid, cet. 19 Beirut
Al-Sayyid Nawfal, al-Da’wah ila Allah Ta’ala: Khasaisuha Mauqawimatuha Manahijuha,
Al-Bayanuni, (1991) Al-Madkhal Ila ‘Ilm Al-Da’wah Madinah: Muassasah Al-Risalah,
Abd. Karim Zaydan, (1968) Usul al-Da’wah. Baghdad: Dar al-Nadhir,.
Ab. Aziz bin Mohd. Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Universiti
Malaya,
Al-Aluri, Tarikh al-Da’wah al-Islamiyyah,

Dr. Mustafa al-Siba’I, al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar, Beirut: al-Maktabah al-
Islami.
Dr.’Abd al-Latif Hamzah, al-I’lam fi Sadri al Islam.

Aizzat Mohd. Nasurdin,  (2006.) Pengantar Pengurusan, Kuala Lumpur: Utusan &
Publications Sdn. Bhd,

Hashim Fauzy Yaacob, (2011) Komunikasi untuk Pembangunan Sumber Manusia, Kuala
Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia,.




[1] Nurul Khikmah, Strategi Dakwah Pondok Pesantren Al-Mubarok Dalam Upaya Pembinaan Keagamaan Masyarakat Sayung Demak, (Semarang: Fakultas Dakwah Institut Agama Islam Negeri Walisongo, 2011), 29-30
[2] Glenn Boseman, Arvind Phatak, Strategic Management,Text and Cases, second edition (Canada, Wiley & Sons Inc, 1989) , page 6
[3] Asmahan Mokhtar, Nurshahiza Mohamad Isa, Norni Abd Wahab, Pengurusan dalam Islam (Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi), 26-27
[4] Glenn Boseman, Arvind Phatak, Strategic Management,Text and Cases, second edition (Canada, Wiley & Sons Inc, 1989) , page 12
[5] Dr. Teuku Iskandar, Kamus Dewan (Kuala Lumpur: DBP, 1986), 763
[6] Louis Ma’luf, al-Munjid, cet. 19 (Beirut), 343
[7] Al-Sayyid Nawfal, al-Da’wah ila Allah Ta’ala: Khasaisuha Mauqawimatuha Manahijuha, 189
[8] Al-Bayanuni, Al-Madkhal Ila ‘Ilm Al-Da’wah (Madinah: Muassasah Al-Risalah, 1991), 195-198.
[9] Abd. Karim Zaydan, Usul al-Da’wah. (Baghdad: Dar al-Nadhir, 1968), 397
[10] Ab. Aziz bin Mohd. Zin, Pengantar Dakwah Islamiah, (Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1997), 81-85
[11] Al-Aluri, Tarikh al-Da’wah al-Islamiyyah, 144
[12] Ibid.,145
[13] Dr. Mustafa al-Siba’I, al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar, (Beirut: al-Maktabah al-Islami), 46 dan 49
[14] Dr.’Abd al-Latif Hamzah, al-I’lam fi Sadri al Islam, 130-132
[15] Dr. Mustafa al-Siba’I, al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar, (Beirut: al-Maktabah al-Islami), 64
[16] Asmahan Mokhtar, Nurshahiza Mohamad Isa, Norni Abd Wahab, Pengurusan dalam Islam (Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi), 10-14
[17] Aizzat Mohd. Nasurdin,  Pengantar Pengurusan, (Kuala Lumpur: Utusan & Publications Sdn. Bhd, 2006), 65-70
[18] Hashim Fauzy Yaacob, Komunikasi untuk Pembangunan Sumber Manusia (Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia, 2011), 32-36
[19] Asmahan Mokhtar, Nurshahiza Mohamad Isa, Norni Abd Wahab, Pengurusan dalam Islam (Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi), 62-67